KINRARA, 22 April 2022 – Majlis Sukan Negeri Johor telah mengumumkan bahawa seramai 59 atlet negeri Johor menerima insentif penyertaan ke Sukan SEA Edisi Ke-31 berjumlah RM1,000 seorang. Majlis Iftar & Penyampaian Insentif Atlet Johor ke Sukan SEA Vietnam 2021 telah diadakan semalam di Espira Kinrara Resort.
YB Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor yang telah menyampaikan insentif tersebut kepada atlet negeri Johor berkata, “Bilangan penyertaan atlet negeri Johor ke temasya Sukan SEA kali ini meningkat sebanyak 51.28% iaitu seramai 20 orang (59 atlet) berbanding 39 orang pada temasya Sukan SEA Filipina 2019”.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 32 atlet berusia bawah 23 tahun dan masih boleh mewakili Johor pada Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 yang dijadualkan berlangsung pada 29 September – 8 Oktober 2022,” jelas beliau.
Untuk pengetahuan, edisi Sukan SEA kali ini akan menyaksikan atlet Johor mengambil bahagian dalam 22 jenis sukan iaitu akuatik renang, angkat berat, badminton, berbasikal, bola keranjang, bola tampar, bola sepak, dancesports, esports, judo, karate, kurash, kickboxing, menembak, olahraga, petanque, ping pong, lawan pedang, memanah, sepak takraw, wushu dan Xiang Qi.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.