haziq

NAURAJ SINGH IDAM KEKALKAN PENGUASAAN MALAYSIA DI SUKAN SEA

NAURAJ SINGH IDAM KEKALKAN PENGUASAAN MALAYSIA DI SUKAN SEA

April 22, 2022 3:12 am

KUALA LUMPUR, 23 APRIL 2022 – Pemegang rekod kebangsaan bagi acara lompat tinggi lelaki dengan ketinggian 2.30 meter (m), Nauraj Singh Randhawa akui beliau mahu meneruskan penguasaan Malaysia dalam acara itu di Sukan SEA Vietnam, bulan depan.

Atlet berusia 30 tahun itu merupakan atlet pilihan utama untuk meraih emas di Hanoi berbekalkan rekodnya selaku pemenang pingat emas tiga kali berturut-turut pada edisi 2013 di Naypyidaw, 2015 di Singapura and 2017 di Kuala Lumpur.

“Saya mahu menang pingat emas buat Malaysia, saya tidak begitu berminat dengan ketinggian (untuk melakukan catatan terbaik musim), jadi tidak mengapa. Saya cuba berada dalam keadaan terbaik untuk Sukan SEA.

“Saya akan tampil di sana dengan memberikan sepenuh keupayaan saya, 110 peratus, apa saja datang dengan itu, saya akan sangat gembira,” jelas pemenang pingat perak pada edisi 2019 di Filipina itu.

Selain Nauraj, seorang lagi atlet meningkat naik iaitu Eizlan Dahalan berusia 22 tahun bakal turut sama berjuang di Hanoi nanti yang dijadual pada 12 hingga 23 Mei.

Untuk rekod, Malaysia merupakan ‘raja’ dalam acara lompat tinggi lelaki sejak edisi Sukan SEA 1977, kecuali pada tahun 2005 di Manila yang mana pingat emas berjaya dirampas oleh atlet Vietnam, Nguyen Duy Bang.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Hanoi2021 #SeaGames2021 #SukanSEA2021 #LompatTinggi

Sumber : Bernama

Sumber Gambar : Nauraj Singh / Lubor Popelka