KUALA LUMPUR, 26 APRIL 2022 – Malam tadi selesai hari ketujuh kem latihan pusat pasukan bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan ke temasya Sukan SEA Hanoi yang mana terdapat sembilan lagi pemain melaporkan diri.
Kehadiran kumpulan pemain itu yang terdiri daripada Firdaus Irman Fadhil, V Ruventhiran, A Shivan Pillay, Aiman Afif Afizul, Ahmad Aysar Hadi Shapri, Daryl Sham, Umar Hakeem Suhar Rezwan, Ubaidullah Shamsul Fazili dan Nik Akif Syahiran Nik Mat ternyata memberi kelegaan buat Ketua Jurulatih, Brad Maloney.
Sebelum ini, timbul isu yang mana beberapa pasukan di Liga-M dilaporkan enggan melepaskan pemain mereka namun selepas pindaan jadual perlawanan dilakukan oleh Malaysia Football League (MFL) maka permasalahan itu berjaya diselesaikan.
Sembilan pemain itu menyertai lima pemain lain iaitu Shafi Azswad Sapari, Haqimi Azim Rosli, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Fahmi Daniel Zaaim dan Faiz Amer Runnizar yang telah melapor diri sejak 19 April lalu.
Baki pemain lain daripada senarai 31 pemain yang dipanggil Maloney akan melapor diri secara berperingkat, selepas mereka dilepaskan kelab masing-masing.
Skuad ini juga disiapkan bukan sahaja untuk saingan Sukan SEA di Hanoi malah untuk ke kejohanan Piala Asia B-23 di Uzbekistan, Jun depan.
Malaysia akan memulakan saingan di Hanoi dengan Thailand pada 7 Mei bagi aksi Kumpulan B sebelum bertemu Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong Stadium, Nam Dinh yang mana slot ke separuh akhir hanya diberikan kepada 2 pasukan terbaik sahaja.
Untuk rekod, kali terakhir skuad negara merangkul emas Sukan SEA adalah pada edisi 2011 di Indonesia di bawah bimbingan Kim Swee dan bagi edisi lalu di Filipina, pasukan negara tersingkir di peringkat kumpulan.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.