KELANA JAYA, 27 April 2022 – Peluang membangunkan bakat bola sepak tanah air pada peringkat akar umbi serta belia bakal diperkasakan ke tahap lebih tinggi pada masa akan datang selepas Juventus FC telah mengadakan kunjungan hormat ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada Isnin lepas bagi meninjau potensi jalinan kerjasama dua hala.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM, ia menyatakan bahawa tujuan perbincangan awal ini adalah untuk meninjau peluang untuk bangunkan program pertandingan bola sepak di peringkat belia dan juga meninjau potensi untuk membuka akademi Juventus FC di Malaysia.
Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, Presiden FAM berkata, “Kerjasama ini berpotensi membawa manfaat kepada bola sepak Malaysia. Dengan reputasi sebagai gergasi Itali, Juventus berhasrat berkongsi kepakaran mereka dengan Malaysia. Juventus FC juga inginkan Malaysia membuat kunjungan balas bagi meninjau kemudahan ke ibu pejabat dan fasiliti serba lengkapnya di Turin.
Lebih lagi, Datuk Haji Hamidin menjelaskan bahawa pemain muda negara khususnya skuad Bawah 17 tahun kebangsaan akan diberi peluang untuk menjalani latihan di akademi Juventus di Turin.
Perkara yang lebih menarik daripada potensi kerjasama ini adalah cadangan untuk mengadakan perlawanan pertunjukan oleh Juventus FC di Malaysia dalam tempoh di antara Disember 2022 dan Julai 2023.
“Pemain kanak-kanak di peringkat akar umbi berpeluang menguji kemampuan masing-masing dengan turut serta dalam saingan Akademi Piala Dunia Juventus. Apa yang saya lihat menerusi perbincangan awal ini, potensi jalinan kerjasama antara Juventus FC dan FAM mampu mendedahkan bakat tempatan kepada corak latihan sebuah kelab gergasi Eropah,” tambah beliau.
Dalam lawatan itu, delegasi Juventus FC diwakili oleh Federico Palomba, Pengarah Urusan dan Kelvin Leung, Pengurus Jualan Kerjasama.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.