KUALA LUMPUR, 28 APRIL 2022 – 14 hari lagi menjelang temasya Sukan SEA Hanoi menyaksikan enam atlet atlet kanu negara dicabar oleh Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) untuk melakukan kejutan sekali gus membawa pulang pingat emas.
Cabaran tersebut dilontarkan sendiri oleh presidennya, Datuk Michael Wong Meng San yang menjanjikan ‘habuan’ sebanyak RM20,000 bagi setiap pingat emas yang mana jumlah itu menyamai insentif diberikan kerajaan di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
“Saya bersedia mengeluarkan duit poket sendiri bagi menyuntik semangat atlet kami untuk memastikan kemarau pingat lebih 10 tahun dapat ditamatkan di Hanoi.
“Pencapaian terbaik kita di Sukan SEA adalah pingat gangsa pada edisi Palembang 2011 menerusi acara K2 200 meter (m) lelaki yang dimenangi Hamdan Muhammad dan Mohd Noh Parmin,” jelas beliau.
Khairul Naim Zainal merupakan taruhan utama MASCA untuk meraih pingat dalam acara K1 1000m lelaki & beliau turut akan beraksi dalam acara K2 1000m bergandingan dengan Nik Afiq Nik Mazli.
Turut sama berjuang selain dua atlet itu ialah Aimi Ayuni Azwan dan Aisyah Harhanah Azwan bagi acara K2 500m dan 1000m wanita, serta Syaful Epandy Hamdan dan Ahmad Azfaruddin Lukman bagi kategori lelaki.
Michael Wong juga umumkan bahawa pihaknya akan menentukan jumlah imbuhan bagi pemenang pingat perak dan gangsa memandangkan tiada ganjaran dibawah SHAKAM bagi jenis pingat itu.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.