KUALA LUMPUR, 28 April 2022 – Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke temasya Sukan SEA Hanoi 2021 telah berlangsung semalam dengan lancar di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. Ketika majlis tersebut, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu, Menteri Belia dan Sukan telah mengumumkan bahawa sasaran pingat Kontinjen Malaysia pada temasya itu adalah sebanyak 36 pingat emas, 35 perak dan 75 gangsa.
Beliau menjelaskan bahawa sasaran pingat tersebut ditetapkan selepas perbincangan dengan semua pemegang taruh yang terlibat dan berdasarkan prestasi semasa 584 atlet Kontinjen Malaysia.
Ahmad Faizal berkata, “Sukan terjun dan olahraga di jangka menjadi lubuk pingat emas negara. Kedua-dua sukan ini mampu menyumbang lebih dari lima pingat emas. Berdasarkan prestasi semasa bonus pingat emas mungkin mampu diberikan oleh sukan taekwondo, wushu, petanque, pencak silat, bina badan dan beberapa sukan lagi.
“Kita dapati lebih 58 peratus adalah atlet yang bakal bertanding buat kali pertama di Sukan SEA. Kita perlu faham bahawa mereka memerlukan pendedahan di peringkat antarabangsa untuk mencabar diri sendiri bagi mendapatkan pingat. Kita ada agenda lebih besar untuk membawa momentum ini ke Sukan Komanwel, Asia dan Olimpik selepas itu, dengan kita masih menanti pingat emas pertama,” jelas beliau.
Pengurangan sasaran pingat pada edisi kali ini berbanding beberapa edisi lepas adalah kerana sebanyak 22 jenis sukan seperti pelayaran ekuestrian, hoki, ragbi, dan luncur air tidak dipertandingkan pada kali ini. Antara sukan yang telah menyumbangkan pingat kepada Kontinjen Malaysia pada edisi lepas tetapi tidak dipertandingkan pada tahun ini ialah skuasy, boling padang, skating, gimrama, break dance dan beberapa sukan lain.
Sementara itu, YB Menteri KBS juga mengingatkan para atlet dan pegawai Kontinjen Malaysia untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila berada di Vietnam nanti bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 di sana.
“Kita telah menyediakan SOP sendiri untuk pastikan jika ada atlet kita yang dijangkiti virus berkenaan, pertamanya tidak menjangkiti atlet lain kerana mereka tinggal dalam perkampungan sama dan juga tidak menjangkiti para atlet dari negara lain. Jadi tentunya kita perlu pastikan kita ikut SOP yang telah ditetapkan sendiri dan patuhinya dengan ketat termasuk SOP negara berkenaan (Vietnam),” tambah beliau.
Di samping itu, Ahmad Faizal menyatakan bahawa walaupun atlet terpaksa menyambut Aidilfitri dalam gelembung sukan di MSN, namun mereka menunjukkan semangat yang tinggi untuk menggalas cabaran di Hanoi nanti.
Beliau berkata, “Saya amat menghargai pengorbanan barisan atlet negara yang terpaksa melupakan kemeriahan sambutan lebaran kali ini bersama-sama keluarga tercinta, demi memikul tanggungjawab mengibarkan Jalur Gemilang dan mengharumkan nama Malaysia ke temasya Sukan SEA di Vietnam ini.”
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.