lavinesh

KELUK PEMBELAJARAN YANG BAIK – ARULSELVARAJ

KELUK PEMBELAJARAN YANG BAIK – ARULSELVARAJ

April 29, 2022 5:17 am

PERTH, 29 April 2022 – Skuad Senior Lelaki Kebangsaan tewas buat kali keempat berturut-turut dalam Siri Perlawanan Ujian Antarabangsa 2022 antara Malaysia dan Australia di Stadium Hoki Perth, Australia. Pasukan Speedy Tigers tunduk 0-3 kepada Australia pada perlawanan terakhir semalam.

Jaringan gol pertama perlawanan itu dicipta oleh Jeremy Hayward pada minit ke-34 menerusi pukulan sudut penalti. Penguasaan pasukan Australia berterusan dengan satu lagi kelebihan pukulan sudut penalti diterjemahkan kepada jaringan kali ini menerusi penyudahan daripada Ky Willott tiga minit sebelum aksi suku ketiga berakhir.

Suku yang terakhir, Ky Wilott menjaringkan gol peribadi keduanya apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti dengan melakukan satu flik terus ke arah bawah sebelah kanan pintu gol negara pada minit ke-54 dan kedudukan 3-0 kekal menutup perlawanan itu.

Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A. Arulselvaraj berkata, “Perlawanan terakhir hari ini, kami tewas 0-3 dan semuanya menerusi gol pukulan sudut penalti, di mana Australia memiliki 12 pukulan sudut penalti. Seperti yang telah saya katakan sebelum ini kami ada banyak kerja yang perlu dilakukan dari sudut bertahan di dalam kawasan sendiri dengan menggunakan lebih banyak kekuatan badan serta otot kaki.”

“Banyak perkara yang kami pelajari dan perlu diperbaiki seperti kekuatan mental untuk berlawan dan kekuatan kaki untuk mengejar pemain Australia. Sudut positif yang boleh kami ambil dalam siri perlawanan ujian ini adalah pemain telah mula merasai bagaimana mereka boleh memberikan tentangan kepada pasukan seperti Australia dari sudut mental serta fizikal.”

“Selepas pulang ini jika kami mampu untuk menunjukkan penambahbaikan, pemain pastinya akan ke Piala Asia dengan lebih yakin serta percaya mampu untuk meraih kemenangan,” jelas beliau.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #MHC #MalaysianHockeyConfederation #MalaysianTigers #MalaysianHockey #SpeedyTigers

Sumber : Malaysian Hockey Confederation

Sumber Gambar : Malaysian Hockey Confederation