DEAFLYMPIC: RAMLY CATAT MASA PERIBADI TERBAIK DI BRAZIL
DEAFLYMPIC: RAMLY CATAT MASA PERIBADI TERBAIK DI BRAZIL
May 5, 2022 2:47 am
FARROUPILHA, 5 Mei 2022 – Acara Cycling Road-Time Trial 30km dalam temasya Sukan Deaflympics Edisi ke-24 yang berlangsung sebentar tadi di Rio Grade do Sul, Brazil telah menyaksikan Ramly Ismail, atlet basikal Pekak negara berjaya menduduki tempat ke 15 dari 33 pelumba.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Sukan Pekak Malaysia (MSDeaf) menyatakan bahawa Ramly mencatat masa 52 minit 35 saat dan catatan tersebut adalah catatan peribadi terbaik pernah dibuat oleh Ramly setakat ini. Pencapaian tersebut amat baik bagi atlet kelahiran Johor itu yang pertama kali menyertai Sukan Deaflympic tersebut.
Theo Moreau, pelumba Perancis telah memenangi pingat emas dengan catatan masa 47 minit 01 saat dan diikuti oleh Pawel Arciszewski dari Poland dengan catatan masa 47 minit 57 saat, manakala tempat ketiga jatuh kepada Andre Soares dari Portugal dengan catatan masa 48 minit 0.3 saat.
Untuk pengetahuan, Ramly Ismail akan bersaing dalam acara Road Race yang dijadual berlangsung pada 6 Mei 2022, Jumaat ini.
Sementara itu, Yilamaran a/l Vispalinggam, atlet karate Pekak negara telah meraih pingat perak bagi acara Kumite – 84kg pada 2 Mei lalu. Beliau gagal menewaskan Makhno Oleksanr, atlet karate senior dari Ukraine pada aksi final itu. Untuk pengetahuan, Makhno adalah atlet yang lebih berpengalaman berbanding Yilamaran dan juga merupakan pemenang pingat perak bagi acara yang sama pada edisi 2017 lepas.
Yilamaran berkata, “Saya sangat gembira dan berpuashati dengan pencapaian saya di Deaflympic Brazil kerana ini adalah penyertaan pertama saya di Sukan Deaflympic. Saya amat berbangga kerana dapat menghadiahkan pingat untuk negara serta juga negeri kelahiran saya Johor.”
“Saya telah mencuba sedaya upaya untuk menewaskan Makhno tetapi beliau lebih berpengalaman untuk mengatasi saya,” tambah Yilamaran.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.