lavinesh

FAM: TAWARAN HARGA ISTIMEWA BUAT PENYOKONG SETIA HARIMAU MALAYA

FAM: TAWARAN HARGA ISTIMEWA BUAT PENYOKONG SETIA HARIMAU MALAYA

May 10, 2022 3:20 am

KUALA LUMPUR, 10 Mei 2022 – Penyokong setia Harimau Malaya teruja dengan peluang untuk menyaksikan kesemua enam perlawanan melibatkan skuad kebangsaan dalam Kumpulan E pada Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di Bukit Jalil pada Jun ini menerusi perkenalan ‘Tiket Kombo RM100’ oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pihak FAM menjelaskan bahawa pengenalan ‘Tiket Kombo RM100’ itu dibuat bagi memudahkan para penyokong setia Harimau Malaya yang ingin hadir pada ketiga-tiga perlawanan iaitu pada 8 Jun menentang Turkmenistan, 11 Jun bertemu Bahrain dan 14 Jun perlawanan menentang Bangladesh, tanpa perlu membuat pembelian tiket secara berasingan, selain dapat menikmati diskaun harga sebanyak hampir 20 peratus.

Dato’ Posa Haji Majais, Naib Presiden FAM selaku Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM berkata, “Tawaran ‘Tiket Kombo RM100’ ini hanya akan dibuka penjualannya untuk tempoh selama dua minggu sahaja iaitu bermula Isnin depan, 16 Mei 2022 sehingga Ahad, 29 Mei 2022 secara pembelian dalam talian di www.tickethotline.com.my.”

“Selepas berakhir tempoh tersebut, penjualan akan tetap diteruskan sehingga hari perlawanan dengan tiket dijual secara berasingan iaitu berharga RM40 bagi setiap Hari Perlawanan. Jadi kepada penyokong yang merancang ke stadium untuk ketiga-tiga Hari Perlawanan, tidak perlu membeli tiket RM40 secara berasingan sebanyak tiga kali yang harganya akan berjumlah RM120, sebaliknya lebih mudah dan jimat jika anda membeli saja ‘Tiket Kombo RM100’ ini,” tambah beliau.

Pihak FAM juga menjelaskan bahawa kedua-dua tiket tersebut (‘Tiket Kombo RM100’ dan tiket RM40) adalah bagi tiket kategori tempat duduk Terbuka, manakala bagi kategori tempat duduk Grandstand dijual pada harga RM60 untuk 1 Hari Perlawanan.

Sementara itu, Dato’ Posa juga mengumumkan bahawa penyokong juga berpeluang untuk menyaksikan dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 iaitu Malaysia bertemu Myanmar pada Jumaat, 27 Mei 2022 dan Malaysia bertemu Hong Kong pada Rabu, 1 Jun 2022 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil. 

Harga tiket yang telah ditetapkan ialah pada satu harga saja iaitu RM30 dewasa dan RM7 kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) bagi setiap perlawanan. Tiada tiket kategori Grandstand bagi kedua-dua perlawanan ini. Penjualan tiket perlawanan tersebut akan bermula pada 16 Mei 2022.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #FAM #HarimauMalaya #ACQ2023 #bolasepak

Sumber : Football Association of Malaysia

Sumber Gambar : Football Association of Malaysia