KUALA LUMPUR, 25 MEI 2022 – Selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam temasya Sukan SEA di Vietnam dan beberapa lagi kejohanan sebelum itu, TAEKWONDO Malaysia (TM) menyuarakan hasrat agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menilai semula status sukan itu yang sebelum ini disingkirkan daripada sukan teras negara.
Azizul Annuar Adenan, Presiden TM menerusi kenyataan berkata, beliau berharap agar Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) turut memainkan peranan dengan memberi untuk berbincang mengenai pengguguran berkenaan demi mengembalikan sukan taekwondo sebagai sukan teras.
“Atlet-atlet taekwondo yang telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam Kejohanan Taekwondo Poomsae Dunia di Goyang, Korea pada Mei lalu dengan meraih satu perak dan dua gangsa, justeru mencipta sejarah baru untuk Malaysia dalam sukan taekwondo Poomsae.
“Sukan SEA Hanoi 2021 pula, negara berjaya meraih satu pingat emas, satu perak, dan tiga gangsa. Menurut rekod, pencapaian pingat emas dalam sukan taekwondo Kyorugi ini merupakan pingat emas pertama di luar Malaysia sejak 17 tahun yang lepas,” jelas beliau semalam.
Untuk rekod, sukan taekwondo digugurkan daripada sukan teras dalam satu pengumuman pada 12 Disember 2017 yang mana ianya dilakukan tanpa sebarang notis atau surat rasmi kepada pihak TAEKWONDO Malaysia.
Pengguguran itu juga turut memberi impak bukan sahaja kepada atlet, malah turut menjejaskan jurulatih yang telah ditamatkan kontrak serta-merta menurut Setiausaha Agung TM, R Dhanaraj.
Antara kesannya ialah kemudahan selain perkhidmatan MSN dan ISN telah dihadkan kepada atlet.
“Lebih-lebih lagi program-program pembangunan atlet remaja di peringkat kebangsaan dan negeri tidak dilaksanakan buat masa ini.
“Situasi ini bukan sahaja mengancam pembangunan atlet remaja, tetapi memutuskan semangat atlet dan jurulatih, serta membebankan TM untuk mendapatkan bantuan penajaan bagi kemajuan dan pencapaian meraih pingat emas Olimpik yang pertama melalui sukan taekwondo,” jelas Dhanaraj yang juga merupakan ketua jurulatih kebangsaan taekwondo.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.