KUALA LUMPUR, 27 MEI 2022 – Dalam usaha memperkemas pentadbiran persatuan sukan dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan sukan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini sedang merangka beberapa pindaan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576).
Menurut kenyataan daripada Timbalan Menteri, Datuk Seri Ti Lian Ker, mutu budaya profesionalisme bagi lebih 11,000 persatuan yang didaftarkan di bawah Akta 576 sejak tahun 1998 hingga 31 Disember tahun lepas akan turut dapat ditingkatkan menerusi pindaan tersebut termasuk dari segi pengurusan, tatacara pentadbiran dan kewangan demi kepentingan pembangunan industri sukan dan penambahbaikan kebajikan atlet.
‘Kami bercadang mengadakan Peraturan-Peraturan Pembangunan Sukan baharu meliputi Tatacara Pindaan Perlembagaan Badan Sukan; Penggantungan dan Pembatalan Pendaftaran Badan Sukan; Tugas, Fungsi dan Kuasa Badan Sukan serta Maklumat Yang Kena Diberikan,’ jelas beliau dalam sidang media selepas merasmikan Liga Super Bola Jaring 2022 (NSL) pada Rabu.
Sementara itu, Lian Ker berkata, KBS bersedia membantu pihak Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) dalam memacu dan melestarikan pembangunan sukan wanita di negara ini.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.