KUALA LUMPUR, 3 JUN 2022 – Kejuaraan MXKids Funrace (MXKids) Series 2022 telah membuka tirai pada Februari lalu di Track Motorcross Ulu Yam, Selangor yang mana ianya dilihat sebagai pentas bagi mencari pelapis dan mencungkil bakat muda pembangunan sukan motocross.
Kini pusingan kedua pusingan kedua pula akan diadakan di Track Motocross Bandar Tun Razak, Pahang, pada Sabtu dan Ahad ini dengan kerjasama Fattah Motorsports, KTM Malaysia serta AMSOIL yang membawa Klinik Menunggang Motocross Kadet dengan pelumba cilik didedahkan teknik kawalan pemanduan jentera dua roda sebagai persediaan perlumbaan.
Menurut Pengarah program MXKids Malaysia Fazril Ahmad Zabidi, berbanding negara lain yang begitu kerap mengadakan medan pencarian bakat muda sukan permotoran, maka beliau tampil dengan program MXKids sebagai penyelesaiannya.
“Seperti kita tahu motocross di negara ini agak ketinggalan 10 hingga 12 tahun dari negara lain seperti Thailand dan Indonesia, banyaknya program yang ada sebelum ini lebih kepada hobi dan bukan championship.
“Jadi kita rasa rugi apabila negara tak ada pembangunan dalam sukan ini, maka kejuaraan ini merupakan pembangunan sukan motocross khas untuk kanak-kanak,” jelas beliau.
Difahamkan, perlumbaan yang bakal dianjurkan kali ini akan menyaksikan saingan pelbagai kategori khas buat penunggang cilik berumur 6 hingga 16 tahun yang mana perlumbaan berkenaan terbahagi kepada dua kategori iaitu Rookie dan Advance, dengan Rookie khusus bagi kanak-kanak baharu menceburi dunia pemotoran manakala Advance adalah bagi yang telah mahir.
“Kita punya sasaran dalam lima tahun akan datang, motocross kanak-kanak di negara ini boleh sertai kejohanan antarabangsa dengan Indonesia dan Thailand,” katanya.
Tambah Fazril, pihaknya kini dalam perancangan untuk mewujudkan persatuan sukan motocross khas buat kanak-kanak yang berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk masa depan sukan berkenaan.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.