PIAGAM BAHARU MGA, TINGKATKAN PENGLIBATAN WANITA & PEREMPUAN DALAM SUKAN GOLF
PIAGAM BAHARU MGA, TINGKATKAN PENGLIBATAN WANITA & PEREMPUAN DALAM SUKAN GOLF
June 8, 2022 4:38 am
KUALA LUMPUR, 8 Jun 2022 – Persatuan Golf Malaysia (MGA) telah memperkenalkan program baharu iaitu ‘Women in Golf Charter’ pada sebuah majlis bersama Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC) yang dianjurkan semalam di Kuala Lumpur. Tujuan utama piagam ini dilancarkan adalah untuk meningkatkan penyertaan wanita dan kanak-kanak perempuan dalam sukan golf serta menggalakkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk mereka dalam industri ini.
YAM Tunku Puteri Dato’ Seri Jawahir Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar, Pengerusi Subjawatankuasa MGA ‘Women in Golf Charter’ menjelaskan bahawa objektif utama piagam ini adalah untuk mempromosikan dan menyokong semua langkah untuk meningkatkan bilangan wanita, kanak-kanak perempuan dan keluarga bermain sukan golf serta menyokong seruan kepada tindakan positif yang menggalakkan wanita menceburi kerjaya berkaitan dengan industri golf. Pada masa kini, sebanyak 35 kelab golf di seluruh Malaysia telah bersetuju untuk menyertai usaha ini.
Beliau berkata, “Rancangan masa depan ialah untuk mendapatkan semua kelab di negara ini menandatangani piagam tersebut namun apa yang menyukarkan ialah mendapatkan kerjasama kelab-kelab korporat. Kami perlu cuba menggesa mereka demi masa depan dan supaya wanita bekerja dilibatkan dalam sukan golf.”
Beliau juga menyatakan bahawa piagam ini akan hanya membuahkan hasil dalam masa 15 tahun yang akan datang. Hal ini kerana beliau memahami bahawa golf adalah sukan yang mahal dan perubahan sebesar ini akan mengambil masa yang lama untuk diterima dan dilaksanakan oleh orang ramai.
Untuk pengetahuan, MGA telah melaksanakan beberapa perubahan dalam perlembagaan persatuannya sebagai sebahagian daripada usaha ini pada tahun 2019 seperti jawatan Naib Presiden ke-3 mesti dipegang oleh seorang wanita. Tunku Puteri Dato’ Seri Jawahir Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar, Presiden Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) telah dilantik oleh MGA sebagai Naib Presiden ke-3 MGA dan juga dilantiknya sebagai Pengerusi Subjawatankuasa MGA ‘Women in Golf Charter’.
Tan Sri Anwar Mohd Nor, Presiden MGA berkata, “Wanita Malaysia telah mencapai banyak kejayaan pada peringkat antarabangsa seperti Kelly Tan dalam Persatuan Golf Wanita Profesional (LPGA), Alyaa Abdulghany dalam Jelajah Epson dan Natasha Oon dalam Persatuan Atletik Kolej Nasional dan saya pasti dengan lebih sokongan kita boleh lihat lebih banyak kejayaan untuk wanita pada masa hadapan.”
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.