SUKMA 2022 DIAWALKAN, MEDAN PILIH ATLET KE SUKAN SEA KEMBOJA
SUKMA 2022 DIAWALKAN, MEDAN PILIH ATLET KE SUKAN SEA KEMBOJA
June 10, 2022 3:27 am
PUTRAJAYA, 10 JUN 2022 – Temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 yang akan diadakan di sekitar Lembah Klang kini sah diawalkan dua minggu, iaitu bermula 16-24 September ini sempena sambutan Hari Malaysia manakala Para Sukma akan berlangsung pada 1-6 November.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sewaktu melancarkan Detik 100 Hari Sukma XX, MSN 2022 di Menara KBS semalam dan difahamkan keputusan tersebut diambil berikutan penundaan Sukan Asia Hangzhou 2022 serta bagi memberikan ruang kepada pihak penganjur untuk menggunakan kemudahan universiti awam bagi penempatan atlet ketika cuti semester.
Penganjuran temasya kali ini bakal menyaksikan sebanyak 31 jenis sukan dan 445 acara dipertandingkan hasil daripada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada Khamis dan ianya akan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
“Dari segi had umur melebihi 23 tahun, kebenaran khas hanya untuk kali ini dengan mengambil kira atlet-atlet yang telah mengadakan persiapan sejak sekian lama untuk Sukma yang sepatutnya dianjurkan pada 2020 (sebelum dibatalkan kerana pandemik Covid-19),” jelas beliau.
Turut berlangsung semalam ialah pelancaran logo Sukma dan Para Sukma 2022 bersama maskot harimau bernama ‘Oyen’ dan lagu rasmi temasya ‘Demi Malaysia’ yang turut dihadiri oleh jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, atlet menembak Johnathan Wong, skuasy S. Sivasangari dan pelari pecut Azreen Nabila Alias.
Temasya kali ini dijangka bakal menerima penyertaan 10,000 atlet dan pegawai yang mana ia dilihat sebagai medan terbaik untuk memilih atlet Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.