TANJUNG MALIM, 17 Jun 2022 – Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi telah mengumumkan mengenai penganjuran Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022 pada 12 hingga 21 Ogos nanti di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Temasya sukan tersebut yang telah ditangguhkan selama dua tahun kini kembali pada tahun ini dengan mempertandingkan 21 acara dan menyaksikan penyertaan lebih daripada 6,000 atlet mewakili 70 kontinjen.
Noraini berkata, “Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju memberikan beberapa Insentif Kecemerlangan SUKIPT yang baharu iaitu Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT masing-masing bakal menerima wang tunai RM3,000. Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita SUKIPT akan menerima wang tunai RM7,000 dan pemain yang berjaya melakukan hole-in-one bagi sukan golf ditawarkan wang tunai RM1,000.”
“Saya percaya SUKIPT 2022 akan menjadi satu daripada medan untuk atlet institut pengajian tinggi (IPT) mengembalikan prestasi terbaik mereka setelah hampir empat tahun tidak terlibat dengan kejohanan bertaraf kebangsaan, secara tidak langsung membolehkan atlet membuat persediaan awal untuk menghadapi kejohanan besar di peringkat antarabangsa pada 2023,” tambah beliau.
Untuk pengetahuan, edisi kali ini tidak melibatkan penyertaan IPT dari Asia Tenggara seperti sebelum ini. Sementara itu, beliau mengatakan bahawa kontinjen IPT negara akan terlibat dalam temasya Sukan Universiti ASEAN yang dijadual berlangsung di Ubon Ratchathani, Thailand pada 27 Julai hingga 6 Ogoss nanti.
Turut hadir pada majlis pelancaran SUKIPT 2022 adalah YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal bin Muhammad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dan YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak bin Jaafar, Ketua Setiausaha Pengajian Tinggi.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.