KUALA LUMPUR, 22 JUN 2022 – Aksi menakjubkan dipamerkan oleh atlet ski air negara Aaliyah Yoong Hanifah di Kejohanan Fluid Summer Showdown, Florida, Amerika Syarikat apabila beliau berjaya mencipta dua rekod baharu Asia serta mencatat tiga rekod peribadi terbaik.
Kejohanan yang berlangsung pada 17-19 Jun itu menyaksikan Aaliyah merekodkan kutipan melepasi 8,000 mata buat pertama kali dalam acara kegemarannya, tricks sekali gus petanda yang baik menjelang Kejohanan Dunia bulan depan.
Pada pusingan pertama, Aaliyah melakukan catatan terbaiknya dalam acara tricks dengan 8,080 mata untuk menduduki tempat kedua di belakang Erika Lang dari Amerika Syarikat (11,420 mata) sebelum menamatkan saingan dengan 7,300 mata di pusingan kedua.
Kutipan mata itu memadam rekod Asia dan catatan terbaiknya sebelum ini iaitu 7,680 mata yang dilakukan pada Kejohanan Asia 2019.
Bagi acara jump pula, atlet berusia 18 tahun itu melakukan catatan 41.9 meter (m) pada pusingan kedua, memperbaharui catatan 41.4m dilakukannya di Moomba Masters, di Melbourne, Australia pada Mac lepas.
Persembahan cemerlang beliau diteruskan lagi dalam acara slalom dengan memperbaharui rekod Asia dan catatan terbaiknya selepas melakukan 4/55/12 (empat pelampung/55kmj/12m tali) pada pusingan kedua, memadam rekod lama 3/55/12 dilakukannya di Kejohanan Remaja Dunia 2018.
“Saya bersyukur dapat kembali, berlatih dan bertanding di Florida selepas berehat empat tahun.
“la adalah persekitaran yang baik kerana dikelilingi begitu ramai atlet ski air dan rakan-rakan, serta Lake Grew juga satu daripada tasik paling ideal untuk ski di Florida. la tasik kecil dan arah angin sentiasa tepat untuk melompat.
“Saya agak santai sepanjang masa berada di atas air yang pastinya membuatkan saya beraksi lebih baik,” jelas Aaliyah dalam kenyataannya menerusi laman sosial Persatuan Ski Air dan Papan Wakeboard Malaysia.
Sebelum menyertai Kejohanan Dunia di Birmingham, Alabama pada 7 hingga 17 Julai nanti, Aaliyah akan menyertai kejohanan June Okee 3-Event Record di West Palm Beach, Florida pada 25-26 Jun.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.