DUA AKSI BERTEMU BANGLADESH UJI TARING MALAYAN TIGRESS
DUA AKSI BERTEMU BANGLADESH UJI TARING MALAYAN TIGRESS
June 23, 2022 2:28 am
DHAKA, 23 JUN 2022 – Malayan Tigress akan turun bertemu Bangladesh dalam dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 yang dijadualkan hari ini dan Ahad, 26 Jun 2022 sebagai persediaan menjelang Kejuaraan Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Wanita 2022 di Binan City, Manila, bulan depan.
Perlawanan ini akan menguji pendekatan taktikal pasukan negara yang kini berada pada ranking ke-85 dunia untuk meraih pengalaman aksi berintensiti tinggi sebelum menghadapi Kejohanan AFF yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 17 Julai.
“Sejak lawan kita di AFF nanti sukar jadi kita terapkan taktikal lebih kepada bertahan dan serangan balas. Kita mahu pemain kita lebih berkeyakinan sewaktu bertahan.
“Bangladesh akan memberi tentangan yang hebat untuk anak buah saya dan ini bagus supaya kita dapat perbaiki segala kelemahan menjelang kejohanan sebenar,” jelas pengendali Malayan Tigress, Jacob Joseph sewaktu dihubungi pada Rabu.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A dan akan memulakan kempen saingan bertemu Singapura pada 4 Julai, Indonesia (6 Julai), Filipina (8 Julai), juara terbanyak dan naib juara edisi 2019 Thailand (10 Julai) dan Australia pada 12 Julai.
Difahamkan, senarai 30 pemain yang dipanggil kali ini merupakan kombinasi antara pemain muda dan berpengalaman yang mana mereka akan mengikuti kem latihan pusat dari 14 hingga 30 Jun ini.
Pada edisi 2019, Malaysia gagal mara ke peringkat kalah mati selepas menamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga dengan mengumpul dua kemenangan daripada keseluruhan empat perlawanan.
Kejuaraan AFF edisi 2007 merupakan kali terakhir pasukan wanita negara berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.