lavinesh

PAHANG & PULAU PINANG JUARA HOKI B-16 KEBANGSAAN 2022

PAHANG & PULAU PINANG JUARA HOKI B-16 KEBANGSAAN 2022

June 27, 2022 4:28 am

BUKIT JALIL, 27 Jun 2022 – Negeri Pahang dan Pulau Pinang berpesta pada hujung minggu lepas setelah skuad hoki masing-masing telah berjaya menjuarai Kejohanan Hoki B-16 Kebangsaan Lelaki dan Perempuan 2022. 

Dalam kategori lelaki, skuad hoki bawah 16 tahun Pahang telah berdepan saingan sengit daripada skuad Selangor pada saingan akhir sebelum meraih gelaran juara dengan keputusan 2-1. 

Pahang yang berpakaian jersi putih hitam itu berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-18 menerusi sudut penalti Muhammad Nazmi Rahimi Che Anuar. Semangat skuad Pahang semakin membara setelah jaringan gol pertama itu lantas menghasilkan satu lagi jaringan gol pada minit ke-36 menerusi gol padang oleh Muhammad Hakeem Danish Fadlur Rahman. Pada minit ke-60, Selangor melalui Muhammad Syariel Shah Mohd Shahrul berjaya merapatkan jurang dengan Pahang. Walaupun, Selangor berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menyamakan kedudukan, namun hasil usaha tersebut tidak berjaya menghasilkan gol sehingga akhir perlawanan itu. 

Mohd Sufian, pengendali skuad Pahang menyatakan bahawa pemain-pemainnya telah bermain dengan baik dan usaha mereka untuk berlatih bersungguh-sungguh termasuk semasa PKP telah membuahkan hasil. Beliau berasa bangga terhadap skuadnya atas cara permainan mereka pada perlawanan tersebut. 

Sementara itu, dalam kategori perempuan, Pulau Pinang berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada saingan akhir Kejohanan Hoki B-16 Kebangsaan 2022. Wirawati Pulau Pinang dalam perlawanan tersebut adalah Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi yang menghasilkan kedua-dua gol bagi pasukannya. 

Negeri Sembilan berjaya mendapatkan gol pendahuluan pada minit ke-22 menerusi sudut penalti oleh Irdina Madihah Azmi. Negeri Sembilan hanya memegang kedudukan pendahuluan tersebut selama 24 minit apabila Nur Iman Adawiyah menyumbat gol penyamaan pada minit ke-46. Beliau menjadi wirawati kepada Pulau Pinang dengan jaringan gol kedua pada minit ke-57 setelah berjaya melepasi barisan pertahanan dan penjaga gol Negeri Sembilan untuk menjaminkan kemenangan pasukannya. 

A.N. Leo Vincey, pengendali skuad Pulau Pinang berkata, “Kita tidak putus asa (setelah Negeri Sembilan menjaringkan gol pertama), pemain kita terus berjuang dan kejar semua bola. Mereka telah bermain dengan penuh semangat. Bila kita mendapat gol penyamaan, kita tahu mereka (Negeri Sembilan) punya semangat telah putus. Jadi, kita terus menekan dan akhirnya, kita mendapat gol untuk muncul sebagai johan.”

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #MHC #MalaysiaHockeyConfederation #MalaysianHockey #MHCNationalJunior #HokiB16Kebangsaan #Hoki #B16 #Lelaki #Perempuan

Sumber : Malaysian Hockey Confederation

Sumber Gambar : Malaysian Hockey Confederation