haziq

KEJOHANAN DUNIA : PANDELELA TUAI ‘GANGSA’ DI BUDAPEST

KEJOHANAN DUNIA : PANDELELA TUAI ‘GANGSA’ DI BUDAPEST

June 28, 2022 3:34 am

KUALA LUMPUR, 28 JUNE 2022 – Berita gembira dari bumi Budapest, Hungary pagi tadi apabila ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong berjaya meraih pingat gangsa 10 meter (m) platform wanita dalam Kejohanan Dunia 2022.

Penerjun kelahiran Sarawak itu ternyata mengharumkan nama Malaysia di pentas tertinggi yang mana beliau turut menyamai pencapaiannya pada Kejohanan Dunia 2015 di Kazan, Rusia serta memperbaiki kedudukan kelima yang diraih pada edisi 2019 di Gwangju, Korea Selatan.

Pingat emas jadi milik atlet China, Chen Yuxi yang juga juara dunia 2019 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan kutipan 417.25 mata secara  keseluruhan daripada lima terjunan manakala rakan senegaranya, Quan Hongchan yang merupakan pemenang emas Olimpik Tokyo berada di tempat kedua dengan kutipan 416.95 mata.

Sementara itu, Pandelela yang berada di kedudukan ketiga berjaya mengumpul 338.85 mata untuk memastikan dirinya berada di kedudukan podium.

Menariknya, dalam acara 10m platform wanita di Budapest ini Pandelela merupakan atlet paling senior pada usia 29 tahun.

Beliau akan turun beraksi dalam acara 10m platform seirama wanita bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri Khamis ini, dalam usaha mempertahankan pingat perak yang dimenangi bersama pasangan terdahulu, Datuk Leong Mun Yee pada 2019.

Bagi acara 3m papan anjal lelaki pula, cabaran Malaysia terhenti di pusingan kelayakan selepas Muhammad Syafiq Puteh dan Chew Yiwei masing-masing menamatkan saingan di kedudukan ke-35 dan ke-51 daripada keseluruhan 55 penerjun.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Diving #FINABudapest2022

Sumber : Bernama

Sumber Gambar : Majlis Sukan Negara