AFF B-19 2022 : MALAYSIA SASAR LAYAK KE SEPARUH AKHIR
AFF B-19 2022 : MALAYSIA SASAR LAYAK KE SEPARUH AKHIR
June 29, 2022 2:42 am
KUALA LUMPUR, 29 JUN 2022 – Layak ke separuh akhir. Sasaran yang diumumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin buat skuad Bawah 19 tahun (B-19) negara yang akan bersaing dalam Kejuaraan B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Jakarta, Indonesia bermula dari 2 hingga 15 Julai ini.
Barisan muda pemain negara turut diingatkan supaya menepis setiap tohmahan negatif dengan mempamerkan permainan yang membanggakan lantas ia dapat memberi momentum kemenangan untuk mencapai sasaran lalu melangkah ke final.
Skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras juga diseru agar memanfaatkan peluang dengan sebaiknya sewaktu menyarung jersi kebangsaan dengan meletakkan misi untuk mencipta kejayaan demi Malaysia dan bukan bersifat peribadi.
Skuad ini dijadual berlepas ke Jakarta hari ini sebelum memulakan saingan kumpulan B pada Sabtu bertemu Kemboja seterusnya Singapura pada 7 Julai, Timor Leste pada 9 Julai dan Laos, 11 Julai.
Untuk rekod, skuad B19 negara juga bakal menghadapi aksi Kelayakan Piala Asia B-20 2023 bagi Kumpulan E di Ulaanbaatar, Mongolia pada September dengan Malaysia diundi bersama Korea Selatan, Mongolia dan Sri Lanka.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.