lavinesh

TERENGGANU, KEDAH & JOHOR JUARA KEJOHANAN RAGBI 7S KEBANGSAAN 2022

TERENGGANU, KEDAH & JOHOR JUARA KEJOHANAN RAGBI 7S KEBANGSAAN 2022

July 5, 2022 3:51 am

IPOH, 5 Julai 2022 – Pertandingan ragbi tujuh sebelah yang paling dinanti-nantikan di Malaysia iaitu Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan 2022 telah kembali dengan meriah setelah dua tahun tiada penganjuran akibat pandemik COVID-19. Edisi kali ini mendapat penyertaan tertinggi sejak ia pertama kali diadakan pada tahun 1982 menyaksikan pasukan Terengganu muncul juara bagi Kategori Terbuka Lelaki setelah menundukkan pasukan Negeri Sembilan 19-0 pada Ahad lepas.

Untuk pengetahuan, dengan kemenangan ini, Terengganu telah berjaya mempertahankan gelaran juara mereka yang diraih pada tahun 2019. Kemenangan kali ini direalisasikan apabila Terengganu melaksanakan tiga ‘try’ dan dua ‘çonversion’ untuk menghasilkan 19 mata. 

Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak dan Kesatuan Ragbi Perak untuk menganjurkan kejohanan ini yang julung kalinya berlangsung di dua venue bagi memastikan ianya berjalan lancar. Kejohanan ini yang telah berlangsung selama tiga hari dari 1 hingga 3 Julai 2022 berlangsung di Stadium Ragbi Perak dan padang ragbi Rejimen Askar Melayu Diraja (RMR) ke-23 di Kem Gua Permai yang terletak di Ipoh, Perak. 

Bagi Kategori Terbuka Wanita, pasukan Kedah muncul juara setelah menewaskan pasukan Selangor 17-5 dalam Kategori Terbuka Wanita hasil daripada  tiga ‘try’ dan ‘conversion’. 

Sementara itu, saingan Kategori Lelaki Bawah 21 tahun, Johor menundukkan Selangor 21-12, manakala Terengganu berjaya raih gelaran juara menundukkan Selangor 15-10 bagi Kategori Wanita Bawah 21 tahun.

Untuk pengetahuan, MRU telah menganjurkan sebanyak empat kategori iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Lelaki Bawah 21 tahun dan Wanita Bawah 21 tahun. Majlis penyampaian hadiah disempurnakan olah Khairul Shahril Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak. MRU menyatakan bahawa kejohanan ini juga dijadikan medan untuk memilih pemain Bungaraya 7s (pasukan tujuh sebelah kebangsaan) dan mengenal pasti bakat baharu untuk dibangunkan ke peringkat yang lebih tinggi di Malaysia.

Datuk Shahrul Zaman Yahya, Presiden Ragbi Malaysia berkata, “Ini merupakan pemain akar umbi dari seluruh negara yang boleh kita pilih untuk pasukan negara yang selepas ini skuad negara antaranya akan ke Sukan Komanwel dan Sukan Malaysia pada September ini.”

 

Senarai berikut adalah pemenang bagi setiap kategori:

Wanita Bawah 21 tahun

  1. Terengganu
  2. Selangor
  3. Pulau Pinang
  4. Labuan

Pemain Terbaik – Nur Alyia Nabila Sansubahari

Lelaki Bawah 21 tahun

  1. Johor 
  2. Selangor
  3. Negeri Sembilan
  4. Kuala Lumpur

Pemain Terbaik – Danny Iskandar Sharudin (Johor)

Wanita Terbuka

  1. Kedah
  2. Selangor
  3. Labuan
  4. Perlis

Pemain Terbaik – Nur Syazwana Md Fauzi (Kedah)

Lelaki Terbuka

  1. Terengganu
  2. Negeri Sembilan
  3. Selangor
  4. Kelantan

Pemain Terbaik – Mohamad Nasharuddin Ismail (Terengganu)

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #MRU #KRU #Perak #KesatuanRagbiPerak #KejohananRagbi7SebelahKebangsaan2022 #Ragbi #Ragbi7s #akarumbi #Bungaraya

Sumber : BERNAMA & Tournify Tournament

Sumber Gambar : Malaysia Rugby Union