haziq

SKUAD BOLING PADANG NEGARA BERKAMPUNG AWAL DI BIRMINGHAM

SKUAD BOLING PADANG NEGARA BERKAMPUNG AWAL DI BIRMINGHAM

July 6, 2022 4:13 am

KUALA LUMPUR, 6 JULAI 2022 – Dengan sasaran 2 pingat termasuk salah satu daripadanya adalah pingat emas di temasya Sukan Komanwel 2022, skuad boling padang negara mengambil langkah proaktif dengan berlepas lebih awal ke Birmingham.

Pendekatan tersebut diambil memandangkan skuad negara kurang menerima pendedahan terutamanya dalam aspek penyesuaian keadaan padang serta cuaca membabitkan beberapa gelanggang kelab berdekatan venue pertandingan, Victoria Park Bowling Greens.

Menurut pemain boling padang wanita negara, Siti Zalina Ahmad, keadaan padang di Lillington Bowling Club dan Desborough Bowling Club tidak jauh beza dengan venue pertandingan.

“Pada edisi Sukan Komanwel kali ini kami kurang pendedahan iaitu pertama kali skuad pergi adalah pada tahun lepas namun tak dapat gunakan venue itu sepenuhnya berikutan musim sejuk dan kali kedua kami pergi (Siri Ujian Empat Negara) adalah dua bulan lepas.

“Jadi kami datang lagi kali ini untuk sesuaikan balik kerana sudah tentu dalam tempoh beberapa bulan ini semestinya keadaan venue berubah dari segi angin dan sudut bagi melakukan balingan,” jelas beliau sebelum berlepas Isnin lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Skuad boling padang negara terdiri daripada 10 pemain iaitu lima atlet lelaki dan wanita yang akan mengambil bahagian dalam empat acara iaitu single, pairs, triples dan fours di Birmingham.

Untuk rekod, Siti Zalina dan Emma Firyana menyumbang pingat emas buat kontinjen negara sewaktu Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast dalam acara berpasangan wanita (pairs). 

Sejak penganjuran di Malaysia pada 1998, kem boling padang negara tidak pernah ketinggalan membutirkan pingat buat kontinjen negara di Sukan Komanwel.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #SukanKomanwel2022 #Lawnbowls #BolingPadang

Sumber : Bernama

Sumber Gambar : Malaysia Lawn Bowls Federation