AUG 2022 : 35 PINGAT EMAS JADI BURUAN KONTINJEN MALAYSIA
AUG 2022 : 35 PINGAT EMAS JADI BURUAN KONTINJEN MALAYSIA
July 14, 2022 3:15 am
PUTRAJAYA, 14 JULAI 2022 – 35 pingat emas jadi sasaran di temasya Sukan Universiti Asean (AUG) buat kontinjen Malaysia yang mana temasya itu akan membuka tirainya bermula 26 Julai hingga 6 Ogos ini di Ubon Ratchathani, Thailand.
Sasaran itu diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia ke AUG merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Profesor Dr Mohd Fo’ad Sakdan di Putrajaya semalam.
Sasaran pingat emas itu adalah bersamaan dengan temasya terdahulu di di Myanmar 2018 namun kali ini kontinjen negara berdepan sedikit cabaran memandangkan sekurang-kurangnya enam atlet IPT terpaksa diketepikan atas sebab komitmen kepada Sukan Komanwel, Birmingham yang berlangsung serentak.
“Saya yakin, dengan disiplin dan semangat kesukanan yang tinggi, sasaran ini tidak mustahil untuk dicapai. Terus pamerkan aksi, cipta kecemerlangan sukan negara di persada Asia Tenggara,” jelas beliau.
Untuk rekod, edisi lalu di Naypyidaw pada 2018 menyaksikan Malaysia melepasi sasaran awal 35 pingat emas dengan merangkul 37 pingat emas bersama-sama 43 perak dan 49 gangsa dengan kedudukan ketiga keseluruhan.
Seramai 98 atlet institut pengajian tinggi yang menyumbang pingat emas, perak dan gangsa di temasya Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada Mei lalu turut menerima insentif keseluruhan berjumlah RM135,000 dalam majlis semalam.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.