haziq

SASARAN BAHARU PINGAT EMAS SUKAN KOMANWEL DIUMUM SELASA DEPAN

SASARAN BAHARU PINGAT EMAS SUKAN KOMANWEL DIUMUM SELASA DEPAN

July 15, 2022 5:30 am

KUALA LUMPUR, 15 JULAI 2022 – Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham, Gerard Monteiro sahkan Selasa depan akan diumumkan sasaran baharu pingat emas negara di Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Jelas beliau, keputusan itu akan dicapai menerusi pertemuan antara pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu mesyuarat hari ini.

“Keputusan tersebut terletak pada pihak MOM dan MSN, mereka akan bincangkan sasaran baharu itu esok (hari ini), akan diumumkan pada majlis penyerahan Jalur Gemilang,” katanya semalam. 

“Sebelum ini, skuad terjun negara mencatat keputusan yang baik dalam kejohanan terjun dunia.

“Pasangan beregu badminton negara, Pearly Tan dan M Thinaah juga melakukan yang terbaik di kejohanan Malaysia Masters, jadi ia memberikan kita harapan baharu untuk mencapai sasaran pingat,” tambah beliau namun tidak mendedahkan sama ada sasaran itu akan kekal atau berubah.

Terdahulu, tujuh pingat emas merupakan sasaran asal yang diumumkan oleh MOM menerusi sukan badminton (dua emas) manakala gimrama, boling padang, angkat berat dan skuasy serta powerlifting masing-masing satu emas namun segalanya tampak berubah kerana penarikan diri jaguh perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia dan atlet skuasy wanita negara, S Sivasangari.

Temasya sukan komanwel Birmingham, United Kingdom akan berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #SukanKomanwel2022 #DemiMalaysia #KontinjenMALAYSIA

Sumber: Bernama

Sumber Gambar: Majlis Sukan Negara (MSN)