BUKIT JALIL, 25 Julai 2022 – Menjelang Temasya Sukan Para ASEAN 2022 Solo, Indonesia dan Temasya Sukan Perpaduan Islam 2022 Konya, Turki, Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke temasya sukan tersebut telah diadakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada Jumaat lepas.
Majlis tersebut disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Jalur Gemilang Sukan Para ASEAN diserahkan kepada Chef de Mission, Kolonel (B) Md Nor Azam Ariffin dan kemudian diserahkan kepada pembawa Jalur Gemilang, Mohd Zikri Zakaria daripada sukan para olahraga. Manakala, Jalur Gemilang Sukan Perpaduan Islam pula diserahkan kepada Chef de Mission, Tuan Haji Abdul Rashid Yaakub yang kemudiannya menyerahkannya kepada pembawa Jalur Gemilang, Khairul Hafiz Jantan.
Bagi temasya Sukan Para ASEAN, sebanyak 72 atlet akan mengambil bahagian dalam 11 jenis Sukan Para iaitu Memanah Para, Olahraga Para, Badminton Para, Boccia, Catur Para, Goalball, Para Powerlifting, Para Tenis Meja dan Tenis Kerusi Roda yang akan berlangsung dari 30 Julai hingga 6 Ogos 2022.
YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker berkata, “Pada awalnya kita tiada rancangan untuk menyertai APG kali ini setelah penarikan diri Vietnam sebagai tuan rumah, dengan program latihan dan persiapan atlet di fokus ke arah Sukan Para Asia di Hangzhou yang kini telah ditunda ke tahun depan.”
“Selepas Indonesia bersetuju untuk menjadi tuan rumah pada saat-saat akhir, kita masih tiada perancangan untuk menyertainya. Namun, mengambil kira solidariti warga sukan para di rantau ini, kita akhirnya setuju untuk mengambil bahagian, tetapi tiada sasaran pingat spesifik ditetapkan,” jelas beliau.
Sementara itu, temasya Sukan Perpaduan Islam yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 18 Ogos 2022 akan melibatkan 56 atlet yang mengambil bahagian tujuh sukan iaitu olahraga, memanah, karate, gimrama, berbasikal, taekwondo dan memanah tradisional.
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.