TANGKAK, 26 Julai 2022 – Pusingan 3 saingan FIM MiniGP Malaysia Series 2022 yang telah berlangsung pada hujung minggu lepas di Litar Lumba Tangkak, Johor menyaksikan Qabil Irfan, penunggang muda Terengganu mengukuhkan kedudukannya di persada kejuaraan dengan mencatat kemenangan berganda untuk kelas perdana 160cc.
Setelah berjaya mengutip 50 mata penuh pada saingan di Johor, Qabil kini mempunyai 135 mata keseluruhan untuk mendahului pencabar terdekatnya iaitu Adi Putra dengan kelebihan 22 mata dan berbaki dua pusingan lagi sebelum pemilihan ke saingan Kejuaraan Akhir Dunia di Valencia, Sepanyol dimuktamadkan.
Qabil yang merupakan juara SIC Ohvale Championship pada musim lepas telah menampilkan prestasi yang cemerlang daripada barisan hadapan untuk terus menguasai perlumbaan bermula dari isyarat permulaan. Qabil telah menamatkan saingan 18 pusingan mengelilingi litar sepanjang 1,025 meter itu dengan catatan masa 14 minit 13.420 saat lalu meninggalkan Adi Putra lebih tujuh minit di belakang di tempat kedua manakala tempat ketiga dimenangi oleh Akif Abdullah.
Oleh kerana insiden yang membabitkan Danish Al-Haqeem pada permulaan Perlumbaan 2, perlumbaan tersebut terpaksa diadakan semula. Walaupun pusingan itu dipendekkan kepada lapan pusingan, namun Qabil masih berjaya mencatatkan kemenangan selesa untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 6 minit 24.241 saat dan hampir tiga saat di hadapan Akif, yang kini menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan 102 mata. Tempat kedua diisi oleh Adi, yang kini mengutip 114 mata selepas tiga pusingan.
Sementara itu, saingan SIC Ohvale Championship 110cc menyaksikan aksi yang lebih sengit apabila Airel Marzuki menamatkan Perlumbaan 1 dan 2 di tempat ketiga dan keenam lalu memberikan peluang kepada pencabarnya iaitu Qayyim Razim dan Shahzrel Aqief masing-masing memenangi perlumbaan tersebut. Selepas tiga pusingan, Airel masih berada di persada kejuaraan dengan 121 mata; diikuti rapat oleh Qayyim berada tujuh mata di belakang di tempat kedua dengan 114 mata. Tempat ketiga keseluruhan dihuni oleh Shahzrel dengan mengumpul 107 mata daripada tiga pusingan.
Untuk pengetahuan, FIM MiniGP Malaysia Series 2022 dianjurkan bersama oleh Persatuan Pemotoran Malaysia (MAM), Sepang International Circuit (SIC) dan ZK Racing yang mana saingan Pusingan 4 akan diadakan pada 24 dan 25 September 2022 dengan pusingan akhir dijadualkan pada 15 dan 16 Oktober 2022.
Azhan Shafriman Hanif, Ketua Pegawai Eksekutif SIC berkata, “Sebagai antara penggerak utama siri kejuaraan ini, SIC gembira dengan kemajuan yang telah ditunjukkan dalam penganjuran acara ini, yang diadakan buat kali kedua di luar SIC selepas Pusingan 2 di Perlis. Pendedahan ini sememangnya penting untuk kemajuan prestasi dan kemajuan karier para pelumba remaja ini, yang memerlukan sebanyak mungkin kejohanan dengan perlumbaan dalam pelbagai cabaran trek bagi mempertajamkan skil dan kemahiran mereka khususnya untuk bersaing di pentas antarabangsa. Kami berharap lebih banyak lagi pihak akan menyokong usaha-usaha SIC, MAM dan ZK Racing dalam mengembangkan bakat khususnya di peringkat akar umbi.”
Jom Like, Komen, Share, Follow dan Subscribe semua platform media sosial mySukanTV untuk dapatkan info sukan yang terkini.