MSDEAF: KERJASAMA FAM BAKAL JAYAKAN PENGANJURAN KEJOHANAN BOLASEPAK PEKAK
MSDEAF: KERJASAMA FAM BAKAL JAYAKAN PENGANJURAN KEJOHANAN BOLASEPAK PEKAK
July 27, 2022 3:38 am
KUALA LUMPUR, 27 Julai 2022 – Ketika kunjungan hormat Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) ke Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang diketuai oleh Ong Shin Ruenn, Presiden MSDeaf pada 20 Julai 20202 lepas, MSDeaf berjaya mendapat bantuan daripada FAM bagi semua bentuk program bolasepak Pekak yang akan dianjurkan termasuk juga program kejurulatihan dan teknikal sukan bolasepak Pekak Malaysia.
Pada pertemuan dengan Tuan Saifuddin Abu Bakar, Setiausaha Agong FAM, MSDeaf telah memohon kerjasama FAM untuk mendapatkan sokongan FAM bagi menyediakan khidmat pengadil dan pegawai perlawanan, tempat latihan skuad bolasepak Pekak Malaysia, sokongan publisiti melalui FAM termasuk menganjurkan kursus pengadil dan pegawai teknikal bolasepak Pekak sendiri.
Selain daripada itu, MSDeaf turut memohon pengaruh FAM untuk mendapatkan stadium dan padang-padang bolasepak bagi menganjurkan Kejohanan Bolasepak Pekak Dunia Edisi ke-4 di Malaysia yang dijadual berlangsung pada 2023 nanti.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MSDeaf di laman Facebook rasminya, “Ini adalah berita yang sangat baik kerjasama badan sukan kebangsaan yang popular seperti FAM kerana bolasepak adalah acara sukan yang mampu melonjakkan nama negara di peringkat antarabangsa dan sukan ini mempunyai ramai peminat dan pengiat sukan bolasepak di Malaysia dan dunia.”
Untuk pengetahuan, MSDeaf sedang mempersiapkan penganjuran beberapa acara sukan bolasepak sebagai tuan rumah di Malaysia seperti penganjuran Sukan Pekak Asean Edisi Pertama pada bulan November ini, Kejohanan DIFA Futsal B21 Pekak Dunia Edisi Pertama pada bulan Disember 2022 dan Kejohanan Bolasepak Pekak Dunia Edisi ke-4 pada bulan Oktober 2023. Selain itu, skuad bolasepak Pekak Malaysia akan menyertai Kejohanan Bolasepak Pekak Asia-Pacific pada bulan November depan di Korea.