lavinesh

PESILAT NEGARA BERMULA GARANG DI AYER KEROH

PESILAT NEGARA BERMULA GARANG DI AYER KEROH

July 28, 2022 3:17 am

AYER KEROH, 28 Julai 2022 – Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-19 yang sedang berlangsung di MITV, Ayer Keroh, Melaka semalam telah menyaksikan persembahan cemerlang dipamerkan oleh pesilat negara. Juara dunia tiga kali Mohd Al Jufferi Jamari berjaya melepasi pusingan kelayakan setelah menewaskan Suraj Kumar dari India sekali gus menepati ramalan awal.

Bersaing dalam Kelas F (70-75kg), Al Jufferi hanya menerima cabaran getir pada awal pusingan pertama apabila Suraj diberi kesempatan untuk mendahului 4-2 tetapi lawannya yang kurang berpengalaman itu akhirnya tenggelam dengan asakan serta teknik juara Sukan SEA empat kali yang menguasai dua pusingan terakhir dan menang 41-16.

Al Jufferi berkata, “Alhamdulillah, walaupun cedera, saya masih diberi kesempatan oleh Allah Taala untuk menang. Saya tidak pernah memandang rendah pada sesiapa yang saya hadapi. Walaupun sebelum perlawanan orang menganggap saya akan menang mudah kerana bertemu dengan lawan dari India tetapi tidak begitu bagi saya.”

Beliau mengakui kecederaan bahu kanannya ketika menyertai Sukan SEA Hanoi pada Mei lalu masih membataskan sedikit pergerakannya tetapi jurulatih telah menyediakan dirinya dengan taktikal untuk mengelakkan keadaan lebih parah. 

“Saya boleh kata tahap kecederaan saya ketika ini ialah 70 peratus pulih. Jurulatih telah menyediakan taktikal untuk mengelak kecederaan saya semakin teruk sebelum perlawanan tadi,” jelas beliau. 

Untuk pengetahuan, Al Jufferi akan bertemu Alvin T. Campos dari Filipina pada pusingan seterusnya. “Untuk pusingan seterusnya esok (hari ini) saya akan bertemu Alvin dari Filipina. Dia bukanlah lawan yang asing bagi saya,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Luqman Laji juga mara ke pusingan seterusnya apabila beliau berjaya mengumpul 9.940 mata untuk menewaskan pesaing dari Brunei, Muhd Ali Saifullah Abdullah Md Suhaimi yang meraih 9.905 mata dalam acara tunggal lelaki. 

Seorang lagi pesilat negara, Mohd Shukrillah Badrilah yang beraksi dalam acara solo kreatif lelaki berjaya mengutip 9.895 mata untuk menewaskan pesilat dari Vietnam, Tran Duc Danh yang memperoleh 9.890 mata.

Walau bagaimanapun, regu wanita negara yang dibarisi oleh Merrywati Manuil, Fatin Ardani Zamri dan Siti Khairunnisa Hail terpaksa akur dengan kehebatan pasukan Indonesia apabila tewas tipis dengan 0.01 mata selepas 9.935 mata. 

Namun begitu, Merrywati masih bersaing dalam acara solo kreatif layak ke pusingan seterusnya apabila mengumpul 9.935 mata untuk menewaskan jaguh Kazakhstan, Traize Regina yang mengutip 9.865 mata.

#MySukanTV #BeritaSukan #worldpencaksilatchampionship2022 #worldpencaksilatchampionship #pencaksilat #pesakamalaysia

Sumber : mySukan TV

Sumber Gambar : PESAKA