PIALA RAJA THAI : MALAYSIA BAHAM INDONESIA, INTAI SLOT ‘MUDAH’ KE FINAL
PIALA RAJA THAI : MALAYSIA BAHAM INDONESIA, INTAI SLOT ‘MUDAH’ KE FINAL
July 29, 2022 5:53 am
KUALA LUMPUR, 29 JULAI 2022 – Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thailand ke-35 di Bangkok yang kini sedang berlangsung menyaksikan skuad sepak takraw negara menampilkan aksi cemerlang apabila menewaskan Indonesia 3-0 dalam saingan Kumpulan B Divisyen Premier acara beregu berpasukan lelaki semalam.
Mata pertama buat skuad negara hadir menerusi gandingan Zulkifli Razak, Norhaffizi Razak dan Amirul Zazwan Amir yang turun sebagai regu pertama menundukkan Muhammad Reza, Muhammad Hardiansyah Muliang dan Rusdi 21-14, 21-16.
Malaysia terus garang mengutip mata kedua apabila Ahmad Aizat Nor Azmi, Muhammad Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi turut mempamerkan aksi memukau menjinakkan Abdul Halim R, Jelki Ladada dan Hendra Pago 24-22, 21-12.
Kemenangan mutlak skuad negara disahkan menerusi gandingan regu ketiga iaitu Muhammad Haziq Hairul Nizam, Mohd Hafizul Hayazi Adnan dan Farhan Adam yang mengalahkan Ariska Meza, Rezanop K dan M. Hafis 21-13, 21-13.
Persembahan ketiga-tiga regu negara ternyata mendapat pujian jurulatih kebangsaan Mohd Rashidi Nordin, namun beliau mahu anak buahnya memperbaiki banyak perkara terutama daripada segi servis sebelum turun berdepan Korea Selatan esok.
Malaysia wajib menang ke atas Korea Selatan untuk mengungguli Kumpulan B sekali gus mengelak berdepan Thailand yang dijangka muncul juara Kumpulan A.
Perkhabaran gembira turut diterima daripada kem wanita negara apabila mereka berjaya menundukkan pasangan Nepal 21-6, 21-11 dalam acara beregu yang mana barisan pemain negara terdiri daripada Siti Norzubaidah Che Ab Wahab dan Nur Fatihah Sharudin.
Iran turut jadi mangsa skuad wanita negara menyaksikan gandingan Siti Norzubaidah dan Kamisah Khamis meraih kemenangan 21-8 dan 21-9 untuk muncul naib juara Kumpulan B dan dijadual bertemu juara Kumpulan A, Indonesia dalam aksi final hari ini.