AYER KEROH, 1 Ogos 2022 – Komuniti silat negara meriah dengan menyaksikan jaguh silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari berjaya menepati sasaran iaitu memperoleh gelaran juara buat kali keempat apabila beliau memenangi pertarungan penutup tirai Kejuaraan Pencak Silat Dunia Ke-19 yang telah berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka semalam. Penutup yang gemilang, Al Jufferi berjaya menepati impiannya untuk bersara dengan menjuarai kejuaraan di tanah air.
Kemenangan Al Jufferi itu telah membantu Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) untuk mencapai sasarannya untuk memenangi tujuh pingat emas keseluruhan dalam kejuaraan kali ini. Selain pingat emas, kontinjen Malaysia juga berjaya membawa pulang sebanyak lima pingat perak.
Al Jufferi yang bersaing dalam Kelas F (70-75kg) telah beraksi dengan tenang di hadapan kira-kira 1,200 penonton termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan tidak membenarkan lawannya untuk berada di hadapan sejak awal pertarungan.
Perlawanan itu menyaksikan Al Jufferi dan Iqbal Chandra Pratama mengambil langkah berhati-hati tetapi jurus Al Jufferi lebih pantas dan tepat berbanding lawannya dari Indonesia untuk menang 35-21.
Untuk pengetahun, kontinjen Malaysia telah meraihi sebanyak empat pingat emas termasuk sumbangan Al Jufferi pada hari terakhir kejuaraan tersebut. Tiga lagi pingat emas disumbangkan oleh Muhammad Robial Sobri, Nor Izzatul Fazlia Mohamad Tahir dan Nor Farah Mazlan.
Di samping itu, pingat perak disumbangkan oleh Aizad Akbar, pesilat Kelas A (45-50kg) yang tumpas 17-49 kepada Khoirudin Mustakim dari Indonesia dan Mohammad Khairi Adib Azhar yang menarik diri di pertengahan perlawanan menentang Aniq Asri Mohammad Yazid dari Singapura.
Sementara itu, harapan Siti Rahmah Mohamed Nasir untuk melebarkan rekodnya sebagai juara dunia lima kali tidak kesampaian apabila tumpas 35-60 dalam Kelas F (70-75kg) kepada Quang Thi Thu Nghia, kekalahan kedua berturut-turut kepada pesilat Vietnam itu selepas kali pertama bertemu dalam Sukan Hanoi Mei lalu.
Siti Shazwana Ajak pula tewas tipis 20-25 kepada wakil Indonesia Atifa Fismawati dalam Kelas D (60-65kg) untuk memberikan perak kelima buat negara dalam acara Tanding manakala Olivia Chong dijinakka oleh Puntiyakon Pimpisan dari Thailand.