UPM BERSAMA BEC ANJURKAN PIALA TUANKU CANSELOR UPM
UPM BERSAMA BEC ANJURKAN PIALA TUANKU CANSELOR UPM
August 3, 2022 4:15 am
SERDANG, 3 Ogos 2022 – Kejohanan Kuda Lasak Championship Endurance National CEN40 KM dan CEN80 KM Piala Tuanku Canselor UPM 2022 buat julung kalinya bakal berlangsung pada 5 hingga 7 Ogos 2022 ini di Pusat Ekuin, Universiti Putra Malaysia (UPM) atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Sultan Selangor, Tuanku Canselor UPM. Kejohanan CEN tersebut dianjurkan oleh Pusat Pertanian Putra (PPP) UPM dengan kerjasama Benua Equestrian Stable (BEST) Equestrian Club (BEC).
Pada masa ini seramai 65 peserta dari PDRM, MREC, Perbadanan Putrajaya, Legendary Endurance, KAET, Hooves Gang, Estika Endurance Team, Hooves Tribe, Ar-Raudhah Equine Club, DSIA Equestrian & Riding Club, GHRC, Ikhwan Equestrian, MZ Stable, 3S Equestrian dan Kasavilla Stable akan mengambil bahagian dalam kategori CEN40.
Manakala bagi kategori CEN80 akan menyaksikan saingan antara 10 peserta dari Ar-Raudhah Equine Club, PDRM, Ikhwan Equestrian, GHRC dan UPM. Antara peserta yang bakal bersaing dalam kategori CEN80 itu adalah wakil UPM, Nur Qasrina Amani Zakaria yang merupakan seorang pelajar Bacelor Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), UPM. Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata kejohanan itu memberi ruang dan peluang khususnya Akademi Sukan UPM bersama-sama BEST untuk membangunkan disiplin sukan kuda lasak dan eventing bagi menyemarakkan aktiviti berkuda dan sukan berkuda untuk masyarakat setempat.
Selain daripada CEN40 dan CEN80, kejohanan kali ini turut menampilkan acara sukan rakyat iaitu Barrel Race, Pony Ride / VIP Ride 10KM dan juga pertunjukan memanah kuda.