WPFG2022 : JABATAN BOMBA & PENYELAMAT MALAYSIA RANGKUL 15 PINGAT EMAS
WPFG2022 : JABATAN BOMBA & PENYELAMAT MALAYSIA RANGKUL 15 PINGAT EMAS
August 4, 2022 4:35 am
SEPANG, 4 OGOS 2022 – Temasya Sukan Polis dan Bomba Dunia (WPFG2022) yang berlangsung di Rotterdam, Belanda dari 22 hingga 31 Julai lalu menyaksikan kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempamerkan kekuatannya dengan merangkul 15 pingat emas, 11 pingat perak serta 11 pingat gangsa menerusi lima acara yang disertai oleh 35 atlet.
Kepulangan kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam disambut oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.
“Kejayaan yang dicatat oleh kontinjen JBPM kali ini didorong oleh tahap disiplin serta semangat juang tinggi dipamerkan sepanjang kejohanan.
“Ia sekali gus melonjakkan prestasi dan pencapaian mereka dalam kesemua acara yang disertai kali ini,” jelas Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid yang turut bangga dengan pencapaian tersebut yang mana ia melebihi sasaran awal sembilan emas sekali gus mengatasi pungutan pingat di temasya sama di Chengdu, China pada 2019.
Sukan dart dan tenpin boling merupakan lubuk emas buat JBPM menyaksikan dua belas pingat emas dirangkul dalam enam kategori diikuti dua emas dalam sukan Golf dan satu emas menerusi acara push and pull.
Sementara itu, 11 pingat perak disumbangkan menerusi acara tenpin boling tiga pingat, dart (tiga), golf (dua) pingat dan masing-masing satu bagi badminton, bench and press serta push and pull.
Manakala bagi pingat gangsa pula, diraih menerusi sukan tenpin boling (tiga), golf (dua) serta dua lagi dalam acara sukan dart.
Untuk rekod, tujuh emas, dua perak dan tiga gangsa merupakan pencapaian JBPM sewaktu di temasya Sukan Polis dan Bomba Dunia di Chengdu, China pada tahun 2019.