SKUAD HOKI DALAM DEWAN NEGARA TERIMA EMPAT AYAM TAMBATAN BAHARU
SKUAD HOKI DALAM DEWAN NEGARA TERIMA EMPAT AYAM TAMBATAN BAHARU
August 5, 2022 7:41 am
KUALA LUMPUR, 5 OGOS 2022 – Skuad hoki dalam dewan lelaki negara terima tonik menjelang Kejohanan Hoki Dalam Dewan, Piala Asia 2022 di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, Thailand apabila menerima empat pemain kebangsaan untuk memperkuatkan pasukan itu.
Berita itu disahkan sendiri oleh Ketua Jurulatih Skuad Lelaki Hoki Dalam Dewan, Muhammad Amin Rahim yang mana empat pemain tersebut ialah pemain pertahanan, Muhammad Najmi Farizal Jazlan bersama tiga penyerang Norsyafiq Sumantri, Muhammad Ashran Hamsani dan Shello Silverius.
“Saya rasa kita sudah bersedia dari segi permainan, jadi sekarang fokus saya adalah membaiki pukulan sudut penalti, sebab itu kita memerlukan khidmat pemain senior yang lebih berpengalaman untuk bersama-sama membantu pasukan.
“Saya rasa setakat ini, tiada masalah untuk sampai ke final, namun mungkin cabaran akan datang adalah dari Thailand dan Indonesia yang saya kira agak kuat dalam perlawanan hoki dalam dewan,” jelas pengendali itu semalam.
Untuk rekod, skuad lelaki negara raih kedudukan ketiga pada edisi 2019 di Chonburi, Thailand sementara skuad wanita di kedudukan keempat.
Bagi edisi tahun ini, skuad wanita negara mensasarkan layak ke separuh akhir memandangkan pasukan tersebut tidak mempunyai tahap kecergasan yang memuaskan menurut Jurulatih Skuad Wanita Hoki Dalam Dewan, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi.
Bagaimanapun terdapat persoalan mengenai penganjuran edisi tahun ini memandangkan pihak Persekutuan Hoki Asia (AHF) masih belum mengesahkan bilangan penyertaan daripada negara lain serta menetapkan jadual pertandingan dan format yang akan digunakan sama ada bagi pasukan lelaki atau wanita.
Skuad lelaki dan wanita negara dijadual akan berlepas ke Bangkok esok.