KUALA LUMPUR, 8 OGOS 2022 – Temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) ke-20 di Ubon Ratchathani, Thailand telah melabuhkan tirainya Sabtu lalu menyaksikan kontinjen negara berjaya merangkul 49 pingat emas, 83 pingat perak dan 50 pingat gangsa sekali gus layak menerima pujian.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia sah dinobatkan sebagai naib juara AUG 2022 yang mana kontinjen negara mempamerkan prestasi membanggakan dengan mencapai dua sasaran yang pada mulanya ditetapkan sebanyak 35 pingat emas, diikuti 45 pingat emas.
Lubuk emas kontinjen negara pastinya daripada kem olahraga yang menyumbang 11 pingat emas.
Sukan karate juga antara penyumbang pingat emas terbesar negara iaitu enam pingat sementara wushu meraih lima pingat emas, pencak silat (4 emas), catur (4 emas), badminton (4 emas), lawan pedang (3 emas) manakala taekwondo dan mendayung masing-masing 1 emas.
Sukan renang pula menyumbang enam daripada sasaran lapan emas dan memanah meraih empat daripada sasaran lima pingat emas lantas sedikit tersasar daripada jangkaan awal bahawa dua sukan ini akan menyinar.
Skuad bola sepak juga kempunan untuk menghadiahkan ibu pingat emas buat Malaysia apabila tewas di tangan Thailand pada final namun menyamai pencapaian sewaktu temasya AUG 2008 di Kuala Lumpur.
Menurut Ketua Kontinjen Malaysia ke AUG, Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan, persiapan kontinjen negara telah bermula awal setahun dan ia membuahkan hasil bersama semangat juang atlet yang tinggi dan tidak mudah menyerah kalah namun masih ada ruang untuk penambahbaikan.
Tuan rumah, Thailand muncul juara keseluruhan temasya AUG ke-20 dengan merangkul (109-61-42) pingat sementara tempat ketiga jadi milik Indonesia dengan kutipan (43-38-38) pingat.