haziq

KBS PANDANG SERIUS PENCAPAIAN DI BIRMINGHAM – AHMAD FAIZAL

KBS PANDANG SERIUS PENCAPAIAN DI BIRMINGHAM – AHMAD FAIZAL

August 10, 2022 3:52 am

KUALA LUMPUR, 10 OGOS 2022 – “Tindakan tuntas sedang dibuat demi mendapatkan hasil membanggakan di masa depan,” demikian antara kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai pencapaian beberapa acara yang mengecewakan pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menjelaskan bahawa pihaknya telah mengenal pasti beberapa acara sukan itu dan perkara berkenaan sememangnya dipandang serius.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal turut mengakui dan bersyukur atas aksi yang baik dipamerkan kontinjen negara pada temasya sukan empat tahun sekali itu yang mana kontinjen Malaysia berjaya mengutip tujuh pingat emas, lapan perak dan gangsa.

Pencapaian itu sekali gus menepati sasaran yang diletakkan sebelum ini dan kredit harus diberikan kepada usaha para atlet dan barisan pegawai terlibat.

Beliau juga menzahirkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam temasya sukan berprestij itu termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Jelas beliau lagi, KBS turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas sokongan dan dorongan diberikan lantas menaikkan semangat atlet dan para pegawai untuk mencipta lebih kejayaan di masa depan.

Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia diatas sokongan dan doa kepada atlet yang disifatkan sebagai azimat paling penting dalam membakar semangat mereka untuk berjuang bermati-matian demi negara tercinta.

Untuk rekod, kontinjen negara menamatkan cabaran di Birmingham di kedudukan ke-10 secara keseluruhan dan menyamai pencapaian tujuh emas dalam edisi  2018 di Gold Coast, Australia.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Birmingham2022 #DemiMalaysia #KontinjenMALAYSIA #TeamKBS

Sumber: KBS Malaysia

Sumber Gambar: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu