haziq

PEMAIN PERLU BANGKIT DARIPADA KEGAGALAN DI AFF – PENGURUS SKUAD B-16 NEGARA

PEMAIN PERLU BANGKIT DARIPADA KEGAGALAN DI AFF – PENGURUS SKUAD B-16 NEGARA

August 11, 2022 2:41 am

KUALA LUMPUR, 11 OGOS 2022 – Menjelang saingan Kelayakan Piala Asia AFC B-17 Oktober ini, skuad bawah 16 tahun (B-16) negara diharap dapat menimba pengalaman berguna sewaktu mengakhiri Kejuaraan AFF B-16 2022 di Indonesia baru-baru ini di kedudukan kedua Kumpulan C sekali gus gagal layak ke separuh akhir.

Saranan itu diluahkan oleh pengurus skuad B-16 negara, Christopher Raj yang menuntut pemain negara agar bangkit dan terus mempamerkan semangat juang tinggi serta sentiasa bersedia bermain demi negara.

“Saya yakin dan percaya, generasi 2006 ini pasti akan mewakili skuad negara pada satu masa nanti,” jelas beliau dalam satu sidang media semalam.

Malaysia merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Kemboja dalam perlawanan pertama Kumpulan C sebelum terikat 1-1 menentang Myanmar dan terikat 2-2 sewaktu bertemu Australia menyaksikan kutipan lima mata buat pasukan negara.

Penghargaan turut dinyatakan oleh Christopher kepada semua pihak terutamanya pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Osmera Omaro.

“Selain itu, saya turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang tidak putus-putus memberi kata-kata semangat di media sosial; saya amat menghargai dan menyanjungi pengorbanan serta sokongan kalian semua,” tambah beliau.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #FAM #HarimauMalaya #AFFU16

Sumber: FAM

Sumber Gambar: FAM