KUALA LUMPUR, 12 OGOS 2022 – Saingan kelayakan Dunia Piala Asia Baseball5 julung kali bakal diadakan di Malaysia dengan Berjaya Times Square Hotel akan menjadi tuan rumah untuk permainan yang menampilkan versi urban dan baharu berbanding perlawanan bercorak klasik sukan besbol dan sofbal, bermula 17 hingga 19 Ogos ini.
Selain Malaysia, lapan pasukan lain turut mengambil bahagian terdiri daripada Jepun, Hong Kong, Filipina, Korea Selatan, Thailand, Chinese Taipei, Pakistan dan Singapura untuk merebut slot tiga tempat teratas sekali gus layak ke Piala Dunia Baseball5 sulung di Mexico dari 7-13 Nov nanti.
Difahamkan, sukan itu baru diperkenalkan pada 2017 namun menerima sambutan yang baik terutamanya dengan penyertaan sukan berkenaan dalam Sukan Olimpik Remaja 2026 di Dakar, Senegal menurut Presiden Sofbol Asia Datuk Low Beg Choo.
“Memandangkan ini adalah kejohanan baharu, tiada siapa yang menjadi pasukan kegemaran dalam permainan berpasukan campuran in. Kami menjangkakan cabaran sengit daripada pasukan yang mengambil bahagian, terutamanya juara Olimpik Tokyo (bola sofbol dan besbol) Jepun, Korea Selatan dan tuan rumah.
‘”Kejohanan itu sepatutnya diadakan pada 2020 tetapi terpaksa ditangguhkan kerana pandemik COVID-19. Kini, memandangkan keadaan hampir kembali normal dan, selepas pertandingan sofbol dan besbol yang sangat berjaya dalam Sukan Olimpik Tokyo, kami telah memutuskan untuk meneruskannya,” jelas beliau dalam sidang akhbar semalam.
Sukan ini amat mudah dimainkan yang mana hanya memerlukan tapak, lima pemain setiap pasukan dan bola getah menyaksikan pemukul akan memukul bola dengan tangan kosong dan tiada pitcher (pemain yang membaling bola) terlibat.
Hadir dengan slogan ‘Main di Mana-mana saja”, sukan ini boleh dimainkan di permukaan gelanggang yang berbeza berukuran 18m x 13m seperti rumput, simen, konkrit dan lantai parket, manakala Piala Asia ditetapkan untuk mencontohi Las Vegas – gaya lantai permaidani ballroom, tambah Beng Choo.
Sementara itu, Presiden Persatuan Sofbol Malaysia (SAM), Willeam Mah optimis pasukan Malaysia mampu menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik untuk layak ke Piala Dunia di Mexico dengan bersandarkan pemain daripada gabungan pasukan sofbol Sukan SEA 2019 dan pemain universiti.
Setakat ini 5 negara telah melayakkan diri ke Piala Dunia iaitu tuan rumah Mexico, Eropah Perancis dan Lithuania serta Kenya dan Afrika Selatan (benua Afrika) manakala tiga negara masing-masing dari Asia dan Amerika serta satu negara mewakili Oceania akan diketahui selepas kelayakan benua masing-masing.
Badan induk Asia dengan kerjasama Persatuan Sofbol Malaysia (SAM) dilaporkan turut akan menganjurkan Seminar Konfederasi Besbol-Softball Dunia (WBSC) bersama-sama kelayakan Piala Dunia ini.
Undian Piala Asia Basebal5
Kumpulan A: MALAYSIA, Korea Selatan, Thailand.
Kumpulan B: Jepun, Hong Kong, Filipina.
Kumpulan C: Chinese Taipei, Pakistan, Singapura.