haziq

KEHANGATAN SUKAN MALAYSIA XX MSN 2022 KIAN TERASA

KEHANGATAN SUKAN MALAYSIA XX MSN 2022 KIAN TERASA

August 18, 2022 3:04 am

BUKIT JALIL, 18 OGOS 2022 – Debaran kehangatan menjelang Sukan Malaysia XX MSN 2022 kian terasa menyaksikan beberapa rakan strategi diumumkan semalam dalam sebuah majlis yang disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Maraliner diumumkan sebagai Rakan Strategik Bas Rasmi yang bakal menyaksikan syarikat itu akan menyediakan 60 bas untuk kelancaran perjalanan atlet sepanjang temasya Sukan Malaysia XX MSN 2022 nanti.

Turut sama menghangatkan lagi temasya dwitahunan itu nanti ialah RTM sebagai Rakan Penyiar Rasmi yang mana pada waktu sama turut dilancarkan Laman Web Rasmi Sukan Malaysia www.sukma2022.nsc.gov.my yang dirasmikan oleh Oyen, Maskot Sukan Malaysia XX MSN 2022.

Majlis semalam turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker dan YBhg. Dato’ Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Belia.

Sebanyak 31 jenis sukan dengan 426 acara seperti akuatik, badminton, berbasikal, bola sepak, hoki, karate dijadual dipertandingkan sewaktu SUKMA XX MSN 2022 dan akan diadakan dalam lima zon pertandingan iaitu Kuala Lumpur, Bukit Jalil, Bangi, Shah Alam dan Pulau Langkawi sebagai venue sukan pelayaran.

Temasya itu bakal berlangsung dari 16 hingga 24 September ini dan akan dirasmikan pada majlis pembukaan yang dijadual berlangsung pada 17 September bertempat di DECTAR Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #DemiMalaysia #sukmaxxmsn2022 #KontinjenMALAYSIA

Sumber Gambar: FB Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu