ROMPIN, 22 Ogos 2022 – Program Adventure Race Asia Series Rompin 2022 (AR Rompin 2022) edisi sulung anjuran kolaborasi antara Taman Negeri Rompin dan ARWS Malaysia Sdn Bhd telah berlangsung di Taman Negeri Rompin pada Sabtu lepas.
Program ini mempertandingkan sebanyak tiga kategori iaitu kategori individu, kategori dua berpasukan dan kategori empat berpasukan. Lebih daripada 70 peserta termasuk pelajar GiatMara Rompin telah mengambil bahagian dalam kategori individu iaitu larian 10km.
Manakala, bagi kategori dua berpasukan dan empat berpasukan, seramai 42 peserta tempatan dan luar negara telah mengambil bahagian dan menghadapi 80km trek yang penuh dengan pelbagai cabaran. Antara cabaran yang dihadapi oleh para peserta adalah aktiviti larian, berbasikal, kayuhan pelampung, abseiling dan tyrolean traverse.
James Chee, Pengarah Perlumbaan berkata, “Program ini cukup mencabar apabila peserta terpaksa menempuhi laluan berbukit dengan berbasikal selain menikmati alam semula jadi di samping melalui perkampungan Orang Asli dan kawasan Felda (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan).”
Untuk pengetahuan, Norazrin Kamsor Azrin, Mohd Azuan Asmuni, Muhammad Syamsul Erry Abdullah dan Yusof Abdul Manan muncul juara bagi kategori empat berpasukan dan menerima wang tunai sebanyak RM3,000. Tempat kedua dimenangi oleh Team KE7B AR dan tempat ketiga direbut oleh Team Kamikaze Alpha.
Manakala, bagi kategori dua berpasukan, Kim Hong Yeo dan Ying Zhi Chua, peserta dari Singapura telah berjaya muncul juara. Mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500.
Mohd Ros Effendi Ramli Chua, Pengurus Taman Negeri Rompin berkata, “Kita alu-alukan lebih banyak program seumpama ini dilaksanakan pada masa hadapan di sini kerana kita lihat ia berpotensi untuk menarik peserta kerana keadaan hutan sangat menarik yang dianggarkan 140 juta tahun.”
Pada bulan depan, beliau menjelaskan bahawa antara aktiviti lain yang bakal dianjurkan di Taman Negeri Rompin adalah Bird Race.