lavinesh

PROJEK JEJAK JUARA 2022-2027 MENCUNGKIL BAKAT BAHARU BADMINTON WPKL

PROJEK JEJAK JUARA 2022-2027 MENCUNGKIL BAKAT BAHARU BADMINTON WPKL

August 23, 2022 3:16 am

KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2022 – Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) telah memperkenalkan Projek Jejak Juara 2022-2027 yang dilancarkan oleh YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan di Dewan Utama, Dewan Bahasa & Pusaka (DBP), Kuala Lumpur semalam. Misi Projek Jejak Juara adalah untuk melahirkan permata baharu dalam arena badminton di Malaysia menerusi pelan jangka panjang.

Inisiatif ini adalah untuk memberi penumpuan terhadap program pembangunan yang efisien bagi memastikan Kuala Lumpur terus menjadi pengeluar pemain-pemain badminton tempatan yang berkualiti di masa hadapan. Program ini juga menumpukan sistem kerjasama secara berkumpulan, dan hala tuju yang sama selain membentuk pengurusan dan latihan yang sistematik dan berfokus. 

Dato’ Sri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos, Presiden KLBA berkata, “Kita memiliki pemain-pemain yang berpotensi tetapi matlamat kami adalah untuk melahirkan pemain-pemain Kuala Lumpur yang berkualiti.”

“Setiap pemain akan memiliki data tersendiri dan ia akan digunakan untuk menganalisa kekuatan dan penambaikan yang perlu dilakukan bagi meningkatkan keupayaan dari segi teknikal dan juga mentel mereka dari semasa ke semasa,” jelas beliau.

Projek Jejak Juara dirangka untuk tempoh lima tahun, mensasarkan pelajar-pelajar seawal usia 10 tahun di 292 buah sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuala Lumpur.

Untuk pengetahuan, Projek Jejak Juara turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWKL) dan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSSWPKL).

Empat sekolah dipilih sebagai lokasi Pusat Latihan Daerah (PLD); SMK Kepong Baru (PLD Sentul), SMK Sri Pantai (PLD Bangsar), SMK Seri Bintang Selatan (PLD Pudu) dan SMK Wangsa Melawati (PLD Keramat) dimana jurulatih akan ditempatkan untuk memberi panduan dan tunjuk ajar kepada pemain-pemain.

Salah satu kunci petunjuk prestasi bagi KLBA bagi Projek Jejak Juara ini adalah memastikan Kuala Lumpur mendominasi sukan badminton terutama di kejohanan badminton Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM).

Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, “Inisiatif ini tentunya membuka ruang dan peluang kepada murid daripada 188 sekolah rendah dan 104 sekolah menengah di seluruh WP Kuala Lumpur untuk mempamerkan bakat mereka, seterusnya diasuh dan digilap untuk menjadi seorang jaguh sukan badminton.” 

“Kerjasama sebegini pastinya bukan sahaja akan memastikan lebih ramai bakat baharu dicungkil, malah yang lebih utama inisiatif ini dapat menyuntik semangat serta membina keyakinan diri anak-anak bahawa setiap daripada mereka mempunyai kekuatan dan potensi masing-masing yang boleh dioptimumkan,” kata beliau.

#MySukanTV #BeritaSukan #JejakJuara #ProjekJejakJuara #PJJ #KLBA #KPM #Badminton #KualaLumpur #WPKL #cungkilbakat #bakatmuda #jaguhbadminton

Sumber: mySukan TV, FB Kuala Lumpur Badminton Association, FB Dr Radzi Jidin

Sumber Gambar: FB Kuala Lumpur Badminton Association