lavinesh

SUKMA XX 2022: 426 ACARA DARIPADA 31 JENIS SUKAN BAKAL DIPERTANDINGKAN

SUKMA XX 2022: 426 ACARA DARIPADA 31 JENIS SUKAN BAKAL DIPERTANDINGKAN

August 24, 2022 4:28 am

KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2022 – Menjelang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-20, Jawatankuasa Pengelola SUKMA MSN XX 2022 telah mengumumkan bahawa sebanyak 426 acara bagi 31 jenis sukan (38 Disiplin Sukan) termasuk 223 acara lelaki, 184 acara wanita dan 19 acara campuran bakal dipertandingkan. 

SUKMA MSN XX 2022 dijadual berlangsung dari 16 hingga 24 September di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Selangor serta dua venue di luar Lembah Klang iaitu di Nilai, Negeri Sembilan serta Pulau Langkawi, Kedah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato’ Jana Santhiran Muniayan, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA XX MSN 2022, Perkampungan Sukan akan ditempatkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai lokasi utama selain pembabitan beberapa pusat pengajian tinggi lain seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). 

Untuk pengetahuan, 31 jenis sukan yang akan dipertandingkan adalah Akuatik, Badminton, Berbasikal, Bola Sepak, Gimnastik, Hoki, Karate, Lawn Bowls, Memanah, Menembak, Olahraga, Pencak Silat, Pelayaran, Skuasy, Tenpin Boling, Wushu, Angkat Berat, Bola Jaring, Bola Keranjang, Bola Tampar, E-Sports, Golf, Judo, Kanu, Kriket, Muaythai, Petanque, Ragbi, Sepak Takraw, Tenis dan Tinju.

Bagi venue pertandingan, sebanyak 43 venue di 5 Zon akan digunakan untuk menganjurkan 31 jenis sukan tersebut. Zon 1 adalah Kuala Lumpur dimana 8 jenis Sukan & 2 Sukan Demonstrasi akan berlangsung di 10 venue. Zon 2 ialah Bangi dengan penganjuran 9 jenis Sukan di 13 venue. Bukit Jalil pula ialah Zon 3 dan akan mengadakan sebanyak 9 jenis Sukan di 10 venue. Zon 4 adalah Shah Alam dimana 8 jenis Sukan akan berlangsung di 9 venue. Manakala, Zon terakhir (Zon 5) ialah Pulau Langkawi, Kedah dimana 1 jenis Sukan akan dianjurkan di 1 venue. 

Bola Sepak merupakan sukan pertama yang akan memulakan sepak mula pada 12 September 2022 dan seterusnya 3 sukan iaitu Wushu, Berbasikal Lebuhraya dan Sepak Takraw yang akan memulakan aksi pada 14 September 2022.

SUKMA edisi kali ini akan menyaksikan sebanyak 6,606 atlet mengambil bahagian daripada 14 negeri di Malaysia dan juga satu kontinjen dari Negara Brunei Darussalam. Sebanyak 426 pingat emas untuk para atlet tersebut untuk memenangi pada temasya SUKMA nanti.

#MySukanTV #BeritaSukan #SukanMalaysiaXXMSN2022 #DemiMalaysia #KontinjenMalaysia #MSN

Sumber: mySukan TV

Sumber Gambar: Majlis Sukan Negara