KEJOHANAN PETANQUE ANTARABANGSA JOHOR 2022: MADU TIGA 9 JUARA KATEGORI LELAKI
KEJOHANAN PETANQUE ANTARABANGSA JOHOR 2022: MADU TIGA 9 JUARA KATEGORI LELAKI
August 29, 2022 3:14 am
JOHOR BAHRU, 29 Ogos 2022 – Kejohanan Petanque Antarabangsa Johor 2022 yang melabuhkan tirainya semalam di Arena Emas, Taman Impian Emas dan Arena Petanque MBJB telah menyaksikan gandingan Thanakorn Sangkeawl/Chaiwat Ketngam dari Kelab Malaysia – Madu Tiga 9 muncul juara bagi kategori lelaki. Manakala gandingan bekas juara dunia 2019 Nantawan Fueangsanit dan Phanthipa Wong Chu Wet dari Thailand telah dinobatkan juara bagi kategori wanita.
Gandingan Thanakorn Sangkeawi dan Chaiwat Ketngam telah berjaya menundukkan pasukan Madu Tiga 10 dengan keputusan 13-4. Mengulas kemenangan mereka, “Kami tidak mensasarkan untuk muncul juara kerana kami ke sini sekadar untuk menimba pengalaman menerusi kejohanan ini. Kami sangat teruja dengan kejayaan ini dan berharap dapat mengekalkan momentum ini untuk kejohanan yang akan datang.”
“Kami berterima kasih kepada Johor dan Malaysia di atas sambutan yang diberikan kepada 948 peserta. Mereka berjaya memastikan kejohanan ini berlangsung dengan jayanya,” tambah mereka.
Sementara itu, Nantawan Fuengsanit dan Phanthipa Wong Chu Wet telah menepati ramalan apabila berjaya mendominasi saingan kategori wanita dengan kemenangan meyakinkan ke atas pasangan Anjani Dwi Apriliah/Sephia Febriyanti dari Indonesia JATIM A, 13-6.
Untuk pengetahuan, Kejohanan Petanque Antarabangsa Johor 2022 secara rasminya telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records apabila berjaya menarik penyertaan teramai bagi sukan petanque. Pengiktirafan tersebut disahkan pada majlis penutup dan penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Dato’ Hj On Jabbar @ Jaafar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia & Sukarelawan).
Menurut Dato’ On, beliau berbangga dengan penganjuran edisi sulung kejohanan ini dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang serta dapat dijadikan acara tahunan di dalam kalendar Persekutuan Petanque Antarabangsa (FIPJP).
Beliau berkata, “Sambutan untuk edisi sulung ini amat memberangsangkan sehingga kita menerima penyertaan dari 9 buah negara seperti Thailand, Indonesia, Korea, Brunei, India sekaligus kita berjaya mendapat pengiktirafan dari Malaysia Book of Records”.
“Penganjuran ini juga membuktikan bahawa Johor sememangnya sudah bersedia untuk menganjurkan lebih banyak lagi kejohanan sukan antarabangsa selepas ini dan tidak terhad kepada sukan petanque sahaja,” tambah beliau.