lavinesh

ZAINAL ARIF RAIH GELARAN JUARA ANTARA JUARA MR MALAYSIA 2022

ZAINAL ARIF RAIH GELARAN JUARA ANTARA JUARA MR MALAYSIA 2022

August 30, 2022 3:21 am

ALOR SETAR, 30 Ogos 2022 – Zainal Arif Zainal Ariffin dinobatkan selaku Juara Antara Juara Mr Malaysia 2022 sewaktu Kejohanan Bina Badan Kebangsaan Mr Malaysia 2022 yang melabuh tirainya pada hujung minggu lepas di Alor Setar, Kedah.

Beliau yang beraksi dalam kategori 75-80kg berkata, “Menjelang saingan Sukan SEA, saya dijangkiti COVID-19, jadi agak sukar untuk meneruskan latihan ketika itu. Selama dua minggu saya hanya berehat di rumah dan melakukan latihan ringan saja. Saya tak dapat menjalani latihan di gimnasium tetapi masih berjaya meraih gangsa di Vietnam.”

Untuk pengetahuan, Zainal yang merupakan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memenangi pingat gangsa pada temasya Sukan SEA pada bulan Mei lalu dan juga berjaya meraih tempat ke-5 pada Kejohanan Asia serta mempertahankan gelaran Mr ATM buat kali ketujuh berturut-turut pada tahun ini.

“Hampir semua pesaing saya juga adalah atlet kebangsaan, jadi sudah pasti saya amat berbangga dapat memenangi gelaran Mr Malaysia kerana bukan mudah untuk meraih gelaran itu,” ulas Zainal.

Sementara itu, Datuk Mohd Zayad Md Ismail, Presiden Persatuan Bina Badan Kedah Darul Aman yang juga Penasihat Jawatankuasa Penganjur Kejohanan Bina Badan Kebangsaan Mr Malaysia berkata, “Saya tidak mahu menyatakan ia mungkin terbaik dalam sejarah penganjuran kejohanan kebangsaan tetapi setakat ini kami menerima pujian daripada negeri yang bertanding. Untuk atlet Kedah, ada yang dapat memasuki peringkat final tetapi tidak menang. Apapun saya berpuas hati dengan pencapaian mereka.”

#MySukanTV #BeritaSukan #MrMalaysia2022 #KejohananBinaBadanKebangsaan #BinaBadan #BodyBuilder #BodyBuilding #juara #TUDM #ATM

Sumber: Berita Harian

Sumber Gambar: FB MrZainal Arif Farra