lavinesh

YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN MENYEMPURNAKAN PERASMIAN SUKMA XX MSN 2022

YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN MENYEMPURNAKAN PERASMIAN SUKMA XX MSN 2022

September 1, 2022 2:31 am

KUALA LUMPUR, 1 September 2022 – Menteri Belia & Sukan, YB Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu telah mengeluarkan satu kenyataan mengumumkan bahawa KDYMM Seri Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan majlis Perasmian Pembukaan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 yang dijadualkan pada 17 September 2022.

Ahmad Faizal berkata, “Seri Paduka Baginda bertitah berhubung perkara itu semasa sesi menghadap dan mempersembahkan warkah persilaan di Istana Negara, semalam (30 Ogos).”

“Selain itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mendengar taklimat ringkas mengenai perjalanan SUKMA 2022 yang berlangsung pada 16 sehingga 24 September ini,” tambah beliau.

Untuk pengetahuan, SUKMA 2022 yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bakal mempertandingkan 31 jenis sukan dengan membabitkan 426 acara. Acara tersebut akan dipertandingkan di beberapa lokasi pilihan termasuk sekitar Lembah Klang, Nilai dan Langkawi. Seramai hampir 9,000 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen yang bertanding telah mengesahkan penyertaan untuk temasya kali ini.

#MySukanTV #BeritaSukan #istanaNegara #TeamKBS #SUKMAXXMSN2022 #SUKMA2022 #DemiMalaysia #KontinjenMalaysia #MSN #KeluargaMalaysia

Sumber: Kementerian Belia & Sukan

Sumber Gambar: Kementerian Belia & Sukan