haziq

HARI SUKAN NEGARA 2022 BAKAL KEMBALI MERIAH

HARI SUKAN NEGARA 2022 BAKAL KEMBALI MERIAH

September 2, 2022 6:38 am

KUALA LUMPUR, 2 SEPTEMBER 2022 – Seperti kebiasaannya, tahun ini menyaksikan Sambutan Hari Sukan Negara 2022 (HSN2022) bakal dilaksanakan secara serentak di seluruh negara dari 7 hingga 9 Oktober ini yang mana perasmiannya dijadualkan berlangsung pada 8 Oktober di Putrajaya.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan semalam berkata HSN2022 bakal membabitkan kerjasama strategik dengan pihak swasta dan NGO bagi memastikan penglibatan rakyat Malaysia di semua peringkat.

Antara pengisian program yang dirancang adalah Putrajaya Night Marathon HSN2022, Karnival Sukan Air, Karnival Sukan Mendaki Kebangsaan, Kejohanan e-sukan, Let’s Get Fit, M-Games, Ekspo Industri Sukan Kuala Lumpur dan Kejohanan “Powerboat” ASEAN.

Semalam juga telah berlangsung  Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sukan Negara yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama barisan EXCO Belia dan Sukan Negeri-Negeri dan wakil kementerian serta jabatan berkaitan.

Sambutan tahun ini dijangka lebih meriah dengan penyertaan seramai 4.5 juta orang dengan pecahannya seramai 1.3 juta di peringkat kebangsaan, 345,404 di negeri dan lebih dua juta orang di daerah selain Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) seramai 200,000 orang.

Hari Sukan Negara adalah acara tahunan KBS namun ianya sudah dua tahun seakan hilang ‘seri’ susulan pandemik COVID-19 menyaksikan HSN2021 disambut di seluruh negara secara hibrid manakala HSN2020 terpaksa dibatalkan ekoran wabak tersebut.

Dengan tujuan dan fokus utama bagi merealisasikan hasrat dan aspirasi kerajaan untuk menggalak dan menjadikan Malaysia negara yang mempunyai rakyat yang sentiasa bersukan serta menjadikan sukan sebagai satu budaya maka dilihat tahun ini merupakan titik tolak kembalinya kemeriahan sambutan HSN2022.

#MySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #HSN2022 #HariSukanNegara2022 #TeamKBS

Sumber: Kementerian Belia & Sukan

Sumber Gambar: Kementerian Belia & Sukan / Bernama