STAR COUGARS TAWAN KEJUARAAN STAR NATIONAL SBP CHAMPIONSHIP 2022
STAR COUGARS TAWAN KEJUARAAN STAR NATIONAL SBP CHAMPIONSHIP 2022
September 6, 2022 4:32 am
SHAH ALAM, 6 September 2022 – Pasukan bola sepak Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh muncul juara setelah mengatasi Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) 2-0 dalam perlawanan akhir divisyen Super, kejohanan STAR National SBP Championship 2022.
Dihoskan oleh STAR dengan kerjasama penganjur Enervive Sdn Bhd, seramai lebih 300 orang pelajar mewakili 16 buah pasukan bola sepak Sekolah Berasrama Penuh (SBP) telah berkumpul di EV Arena Shah Alam dari 3 hingga 4 September 2022 bagi menjayakan kejohanan tahunan edisi ke-3 ini, yang kali terakhir diadakan pada 2017.
Dalam aksi perlawanan akhir divisyen Super yang menyaksikan pertembungan dua seteru utama di peringkat SBP, pasukan STAR berjaya mengatasi pasukan lawan menerusi jaringan daripada Muhammad Nazeef pada kedua-dua babak permainan, sekaligus memberikan pasukan ‘tuan rumah’ kejuaraan pertama mereka dalam sejarah penganjuran.
En. Anand Baharuddin yang merupakan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia berkata, “Saya berharap kejohanan ini akan dapat dianjurkan dengan skala yang lebih besar melibatkan setiap zon SBP, terutama dengan mutu penganjuran seperti ini. Saya juga berharap kesungguhan pelajar dalam pertandingan ini dapat diterjemahkan ke dalam prestasi akademik dalam melahirkan pelajar yang lengkap dan holistik.”
En Shahrizin Shaharudin, Pengarah Kejohanan yang juga merupakan Ketua Pengarah Eksekutif Enervive Sdn Bhd berkata, “Kami di Enervive melihat potensi STAR National SBP Championship sangat besar memandangkan ianya adalah sebuah pertandingan bola sepak peringkat SBP yang paling kompetitif di Malaysia.”
“Kami percaya peranan kami dalam menganjurkan STAR National SBP Championship akan memberikan impak positif untuk sukan bola sepak, dan berharap penglibatan kami dapat meningkatkan lagi mutu penganjuran pertandingan.”
Sementara itu, pasukan Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) muncul selaku pemenang bagi divisyen Premier setelah menewaskan bekas juara SM Sains Tapah (SESTA), manakala Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pula dinobatkan pemenang divisyen Challenge I mengatasi SM Sains Sultan Iskandar, Mersing (ISKANDAR). Divisyen Challenge II pula menyaksikan kemenangan berpihak kepada SM Sains Bagan Datoh (SABDA) mengalahkan SM Sains Tuanku Jaafar (STJ).