ROMPIN, 6 September 2022 – Bermula hari ini hingga 11 September 2022 pantai-pantai di Pahang akan menyaksikan persaingan hangat sukan kanu dengan penganjuran Cabaran Antarabangsa Kanu Lautan Pahang (POPIC) 2022. Edisi sulung ini telah berjaya menarik perhatian jaguh kanu dari negara seperti Afrika Selatan, Australia, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat, Iran, China-Taipei, Thailand dan Indonesia.
Antara juara dunia yang bakal beraksi dalam saingan ini adalah Rob Jenkinson yang merupakan juara dunia dua kali dan isterinya, Julie Jenkinson, juara dunia empat kali. Pasangan tersebut akan berdepan tentangan sukar daripada rakan senegara MacKenzie Hynard, 28, yang merupakan bekas naib juara dunia bawah 23 tahun dan Daniele MacKenzie dari New Zealand yang muncul sebagai juara dunia 2019 di Perancis.
Untuk pengetahuan, POPIC 2022 akan berlangsung selama lima hari yang merangkumi lima peringkat di beberapa pantai di Pahang iaitu Pulau Hiburan, Pantai Lagenda, Pantai Balok, Pantai Cherating dan juga Pantai Teluk Cempedak.
Sementara itu, tumpuan rakyat Malaysia dalam POPIC ini adalah pada dua atlet kanu negara iaitu Mohd Shukri Sulaiman dan Sharifah Ruqayyah Syed Hamzah yang masing-masing mengambil bahagian dalam kategori antarabangsa lelaki dan wanita.
Mohd Shukri Sulaiman berkata, “Ini kali pertama saya bertanding dalam saingan kanu. Tetapi semangat saya cukup berkobar-kobar kerana dapat bersaing dengan beberapa peserta ternama dari luar negara, apatah lagi mereka hadir dengan reputasi yang cukup tinggi selaku juara dunia.”
“Secara peribadi, saya meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dalam setiap peringkat walaupun sedar persaingan sengit. Jadi saya perlu mengekalkan stamina untuk kekal kompetitif dalam mengharungi lima peringkat nanti,” jelasnya.
Di samping itu, Sharifah Ruqayyah Syed Hamzah berkata, “Ini saat yang sememangnya saya tunggu-tunggu apabila dapat bersaing dengan jaguh dunia seperti Daniele dan Julie. Mereka antara nama yang cukup besar dalam sukan kanu dan ini sudah semestinya pengalaman baharu bagi saya untuk berdepan dengan jaguh dunia seperti Daniele dan Julie.”
“Paling utama, saya mahu menjadikan kejohanan ini sebagai persiapan terbaik sebelum beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) tidak lama lagi dengan mewakili Pahang. Harap saya mendapat sesuatu yang positif daripada kejohanan ini,” kata beliau.