MSNJ PERUNTUK RM1.12 JUTA ANJUR SUKAN BANGSA JOHOR
MSNJ PERUNTUK RM1.12 JUTA ANJUR SUKAN BANGSA JOHOR
September 8, 2022 6:47 am
ISKANDAR PUTERI, 8 September 2022 – Sempena penganjuran Sukan Bangsa Johor yang berlangsung sepanjang bulan ini, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.12 juta kepada 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai subsidi pengelolaan untuk menganjurkan empat acara sukan iaitu sepak takraw, bola keranjang, bola jaring dan futsal.
Mohd Hairi Mad Shah, Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri berkata, “Pertandingan awal dilaksanakan di peringkat DUN dan kemudiannya pasukan yang menang akan bertanding dalam daerah masing-masing sebelum dipilih ke peringkat negeri.”
Untuk pengetahuan, saingan peringkat negeri Sukan Bangsa Johor dijadualkan berlangsung pada 15 dan 16 Oktober 2022 di Muar. Mohd Hairi menyatakan bahawa seramai 1,848 peserta disasarkan menyertai Sukan Bangsa Johor pada tahun ini.
“Program sukan melibatkan masyarakat sudah sinonim dengan MSNJ sebagai contoh Sukan Johor, Sukan Muafakat, Sukan Makmur Johor dan Sirkit Remaja. Kali terakhir, kerajaan negeri menerusi MSNJ menganjurkan sukan untuk masyarakat adalah pada tahun 2019 iaitu Sukan Muafakat Johor,” tambah beliau.