TELUK CEMPEDAK, 13 September 2022 – Gelaran juara keseluruhan bagi kategori kebangsaan lelaki TK1 pada Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 (POPIC 2022) ditabalkan kepada Daing Sulaiman Daing Suhaimi yang berasal dari Terengganu. Kejohanan kanu tersebut telah bermula dengan Peringkat 1 di Pantai Hiburan, Kuala Rompin; Peringkat 2 di Pantai Lagenda, Pekan; Peringkat 3 di Pantai Balok, Pahang; Peringkat 4 di Cherating, Pahang dan berakhir dengan Peringkat 5 di Teluk Cempedak, Kuantan.
Daing Sulaiman berkata, “Syukur alhamdulillah atas kemenangan hari ini, saya memang tak menjangkakan dapat meraih gelaran juara keseluruhan dalam kategori ini sebab persaingan memang sengit sejak perlumbaan Peringkat 1 lagi.”
“Kalau ikutkan, saya hanya letak sasaran tiga terbaik kerana saya sedar ada beberapa lagi peserta pilihan terutamanya Adib (Kamaruzrizan) dan Freddy (Anggan). Ini sudah mungkin rezeki saya untuk muncul juara,” tambah katanya.
Selain itu, bagi kategori kebangsaan TK2 lelaki, Ahmad Azfaruddin Lukman-Imam Sujadi Satta, gandingan dari Pahang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 selaku juara keseluruhan kategori tersebut.
Imam Sujadi berkata, “Alhamdulillah segala perit jerih selama lima hari berakhir dengan kejayaan penuh istimewa ini. Walaupun ada sedikit masalah pada awal perlumbaan hari ini (Ahad), tetapi kami masih dapat mengejar peserta lain untuk meraih kemenangan.”
Sementara itu, Norazita-Nursaibah Syahida, pasangan adik beradik dari Terengganu berjaya meraihikan gelaran juara keseluruhan bagi kategori kebangsaan TK2 wanita setelah berusaha untuk mencapai kemenangan bersih dalam kesemua lima peringkat.
Di samping itu, Tuan Muhamad Hidzam Tuan Dolah-Mohd Azman Ibrahim, pelajar dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) dan Nur Aleya Nafisha Norhanafi-Alya Athirah Shaharaziz dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia masing-masing muncul juara dalam kategori inter-varsity lelaki dan wanita.
Untuk pengetahuan, gelaran juara kategori antarabangsa dalam saingan lelaki dan wanita jadi milik Dawid Mocke dari Afrika Selatan dan Danielle McKenzie dari New Zealand.
Dawid Mocke menyifatkan POPIC 2022 adalah kejohanan kanu laut terbaik pernah dianjurkan di dunia. Beliau berkata, “Saya telah berlumba selama 32 tahun. Saya telah memenangi lebih daripada 30 kejohanan di seluruh dunia. Namun dari segi penganjuran di Pahang ini adalah yang terbaik.”
“Saya bukan memuji untuk ‘menyedapkan’ hati penganjur tetapi ini adalah hakikat. Penganjuran kejohanan ini sangat teratur dan dibuat secara besar-besaran di pantai-pantai yang cantik. Apa yang saya lihat selama lima hari bertanding di sini adalah Malaysia mempunyai banyak pantai yang cantik dan sesuai untuk penganjuran perlumbaan kanu laut,” jelas Dawid Mocke.