lavinesh

MXKIDS FUNRACE SERIES MULA DAPAT TEMPAT DI HATI PELUMBA MUDA

MXKIDS FUNRACE SERIES MULA DAPAT TEMPAT DI HATI PELUMBA MUDA

September 14, 2022 4:33 am

ISKANDAR PUTERI, 14 September 2022 – Seramai 103 peserta termasuk 13 peserta dari Singapura telah beraksi pada Pusingan 3 MXKIDS Funrace Series 2022 yang berlangsung pada 3 hingga 4 September lalu di Track Motocross Gateway Garden, Lebuh Medini Utama Iskandar Puteri, Johor Bahru. 

Penganjuran edisi ini diadakan dengan kerjasama PGM Tech 23 serta Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Iskandar Investment Berhad yang mana tujuan utama penganjuran MXKIDS Funrace Series 2022 ialah sebagai sebuah platform bagi melahirkan pelapis-pelapis sukan motocross negara. 

Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Haffiz bin Haji Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri turut berbesar hati menyempurnakan sesi flag off bagi kategori 65cc Advance. 

Pusingan kali ini turut memperkenalkan kategori perlumbaan baharu iaitu MX Girl 50cc yang menerima penyertaan sebanyak 15 peserta. Penambahan kategori ini adalah kerana penglibatan pelumba perempuan semakin meningkat dari hari ke hari. Acara ini dimenangi oleh Nurin Wahidanie Bt Mohamad Rahimi Tabli dari Terengganu, Sophie Arissa Bt Mohd Naim dari Kuala Lumpur di tempat kedua dan Qisya Puteri Afina Bt Nizam dari Johor di tempat ketiga. 

Bagi kategori 50cc Rookie, tempat pertama jadi milik Muhammad Aqeef Rayqal Bin Mohd Safarikh dari Kuala Lumpur manakala tempat kedua dimenangi oleh Muhammad Hadief Fazran Bin Hamidon dari Selangor dan tempat ketiga oleh Wan Aisy Anaqi Bin Wan Shahid. Sementara itu bagi kategori 50cc Advance, tempat pertama dimenangi oleh Muhammad Aidil Rayyan Bin Hamdan dari Terengganu diikuti Muhammad Adam Syakir Bin Mohd Syukri dari Pahang di tempat kedua dan tempat ketiga milik Wan Muhammad Zarif Bin Wan Ahmad Fadhil dari Terengganu.

Seterusnya acara diteruskan bagi kategori 65cc Rookie yang dimenangi oleh Nurin Wahidanie Bt Mohamad Rahimi Tabli dari Terengganu bagi tempat pertama, tempat kedua jadi milik Abi Sufyan Bin Sukran dari Kuala Lumpur dan tempat ketiga Iman Faiq Bin Muhammad Fazlin dari Singapura. Bagi kategori 65cc Advance pula, Muhammad Aqil Putra Bin Nizam dari Johor muncul juara diikuti Muhamad Afiq Darwish Bin Shahril dari Pahang dan tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Zill Qayyum Bin Muhammad Yusmizan dari Pahang. 

Bagi kategori yang terakhir iaitu 85cc, gelaran juara dinobatkan kepada Luke Allan Wong dari Singapura, tempat kedua dimenangi oleh Nik Muhammad Haris bin Nik Sir dari Kelantan dan tempat ketiga diisi oleh Muhammad Zhafran Aniq bin Muhammad Yusmizan dari Pahang. 

Di samping itu, untuk melengkapkan kejohanan MXKIDS Funrace Series 2022, sesi Technical Riding Clinic yang dikendalikan oleh En. Hazlanshah Bin Mohd Noor dari PGM Tech 23 turut dianjurkan untuk para peserta. Beliau merupakan pelumba dari Kawasaki Malaysia dengan pengalaman selama 9 tahun dalam sukan motocross negara. 

Untuk pengetahuan, pusingan terakhir bakal diadakan bertempat di sekitar utara tanah air pada pertengahan Disember ini. Perancangan pengurusan sudah bermula untuk memastikan pusingan terakhir ini berjalan dengan lancar dan menjadi aturcara penutup yang sangat meriah. Dijangkakan lebih ramai lagi peserta akan mengikuti pusingan penutup tahun 2022 dan diharap lebih ramai lagi pihak-pihak yang tampil untuk membantu dalam segi dana bagi merealisasikan program pembangunan MXKIDS ini.

#MySukanTV #BeritaSukan #mxkids #mxkidsmalaysia #mxkidsfunraceseries2022 #iskandarputeri #mediniiskandarmalaysia #motocross #motocrossmalaysia

Sumber: mySukan TV

Sumber Gambar: MXKids Malaysia